Selasa, 28 Mac 2017 - 12:30PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Herman Tino harap Kak Nita pulang

Oleh Syarrizuan Abdul Rashid



Artis Herman Tino (kiri) dan Anita Sarawak. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

SHAH ALAM: Percaya superstar, Anita Sarawak ada alasan sendiri hingga tiba-tiba 'hilang' dari radar dunia hiburan, penyanyi era 1980-an, Herman Tino, 63, berharap diva kesayangan ramai itu kembali merancakkan pentas muzik tanah air.

Mencipta nama ketika Anita dikenali ramai, Herman yang popular dengan lagu Melayu deli, kagum dengan kebolehan Anita mengembangkan bakat hingga 'terbang' ke Amerika Syarikat (AS) tanpa melupakan jati diri sebagai anak Melayu.

"Anita membawa namanya sebagai orang Melayu. Dia tidak menukar nama biarpun berjaya menembusi pasaran luas termasuk di kota Las Vegas.

"Malah, Anita juga tidak malu atau kekok berbahasa Melayu. Lihat saja apabila balik ke sini, tidak pernah dengar Anita bertutur dengan pelat Inggeris," katanya kepada BH Online.

Herman mengulas laporan sisipan hiburan BH, HIP, Ahad lalu, mengenai misteri 'kehilangan' Anita atau mesra disapa Kak Nita yang kali terakhir dilihat berada di Malaysia pada pertengahan tahun 2011.

Dalam laporan itu, penulis lirik terkenal Singapura, Yusnor EF, 80, yang pernah menghasilkan lirik lagu dendangan Anita, mengaku pernah cuba menjejaki penyanyi itu yang dikatakan sudah pulang ke Singapura.

Kepulangan anak kepada seniman Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan seniwati Allahyarham Siput Sarawak bersama suaminya, Mahathir Abdullah ke Las Vegas, dikatakan berlaku secara mengejut dan tergesa-gesa.

Hanya dua hari sebelum berangkat, Anita dikatakan ada menemui ahli keluarga untuk menyatakan hasrat pulang ke Las Vegas.

Kini, sudah lebih lima tahun penyanyi lagu Akhirnya Kini Pasti itu menghilangkan diri dari radar hiburan tanpa berita.

Biarpun tidak mengenali Anita secara rapat, Herman atau nama sebenarnya, Masrun Tamsi mengangap 'kehilangan' penyanyi itu sangat mendukacitakan.

"Sebagai penyanyi angkatan baharu pada era 1980-an, Anita adalah rujukan dan idola kami. Peminat seni dan rakyat Malaysia pasti berharap Anita kembali suatu hari nanti," katanya.

Herman juga berharap bakat baharu menjadikan Anita sebagai contoh, terutama tidak segan menyanyikan lagu Melayu biarpun sudah berada di puncak.

"Saya juga kagum semangat anak muda seperti Yuna yang mengikut jejak langkah Anita mencipta nama di peringkat antarabangsa," katanya.


Trending

    Disyorkan