Jumaat, 26 Mei 2017 - 7:26PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Mia Ahmad menetap di JB selepas kahwin

Oleh Zaidi Mohamad



MIA akan menetap di JB selepas bergelar isteri kepada Mohd Izham. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Pelakon drama Hati Perempuan, Mia Ahmad, akan menetap di Johor Bahru (JB), Johor, selepas bergelar isteri kepada penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi, berkata beliau akan berulang-alik antara JB dan Kuala Lumpur (KL) seandainya terikat dengan komitmen kerja.

"Kerjaya seni saya pun baharu masuk tahun kedua. Jadi, tidak boleh juga untuk mengatakan saya akan tinggal sepenuhnya di sana.

"Saya akan berulang alik antara JB dan KL. Cuma, pada peringkat awal perkahwinan kami nanti, saya kena fokus kepada rumah tangga yang baharu dibina. Saya bertuah kerana bakal suami pun amat memahami," kata Mia kepada BH Online.

Mia dan pemain bola sepak berkenaan akan diijabkabulkan di Taiping, Perak, pada pagi 13 Januari ini. Pada sebelah malam keesokannya pula, pasangan berkenaan akan diraikan dalam majlis bersanding.

Ditanya perasaannya menjelang hari bersejarahnya nanti, pelakon wanita ini mengaku sedikit resah.

"Rasanya, perkara biasa bagi bakal pengantin untuk berasa bimbang sebelum tibanya majlis perkahwinan. Begitupun, saya berharap semuanya akan dipermudahkan dan berjalan dengan lancar," katanya.

Menurutnya juga, beliau belum memikirkan soal percutian bulan madu kerana buat waktu ini, dirinya ingin melihat majlis perkahwinan terbabit diselesaikan dengan sebaiknya terlebih dulu.

"Kami sebenarnya belum pun memutuskan lokasi bulan madu. Biarlah selesai dulu majlis di Taiping dan beberapa acara lain yang dirancang, termasuk di Kuala Lumpur, hujung Mac nanti," katanya.

Majlis akad nikah dan resepsi pelakon serta ahli sukan terbabit akan dapat diikuti secara langsung oleh peminat mereka apabila ia disiarkan menerusi portal Tonton.

"Saya sendiri tidak menyangka pihak portal Tonton berminat mahu menyiarkan majlis kahwin kami. Apapun saya hargai inisiatif mereka," katanya.


Trending

    Disyorkan