Khamis, 25 Mei 2017 - 1:36AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Jep Sepahtu akui akrab, selesa dengan Sari Yanti

Oleh Feride Hikmet Atak



JEP dan Sari Yanti. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Pelawak, Jep (Sepahtu), mengaku selesa berkawan rapat dengan aktres, Sari Yanti, biarpun belum mampu untuk meletakkan perhubungan berkenaan pada tahap tertentu.

Jep atau nama penuhnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, 32, bagaimanapun, tidak tahu untuk menilai atau pada tahap mana 'persahabatan' terbabit boleh diletakkan berikutan kedua-duanya belum mengisytiharkan apakah ia sekadar sahabat atau lebih daripada itu.

"Apabila saya berkawan dengannya (Sari Yanti), semua pihak tidak kira di sebelah dia atau saya mendoakan yang baik-baik dalam perhubungan ini. Saya hanya mampu mengaminkan doa masing-masing.

"Tetapi apabila ditanya mengenai status perhubungan kami, sukar untuk saya menjawabnya. Apa yang penting, saya selesa berkawan dengannya.

"Dalam hal ini, saya tidak tahu untuk meletakkan nilai persahabatan kami pada tahap yang mana," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Jep memuat naik fotonya bersama Sari Yanti ketika hadir pada sambutan hari lahir aktres itu di Instagram. Ekoran itu, rata-rata pengikut Jep meninggalkan komen merestui perhubungan mereka sekiranya kedua-duanya bercinta.

Menguatkan lagi dakwaan itu, bibit-bibit cinta mereka seolah-olah berputik apabila Sari Yanti memuat naik video beliau sedang memanah dengan kapsyen: "Agak agak hati siapa la yang kakak panah tu? Jaga-jaga sebab kalau kakak panah hati awak, kakak simpan baik-baik dalam hati kakak...Nanti kakak tak pulang balik dah...Hahahahhahaha.... Selamat petang :) - minum apa tu? Kakak minum teh O."

Kemudian Jep pula membalas video terbabit dengan sekeping foto menunjukkan tiga anak panah yang dilepaskan Sari Yanti menembusi hatinya.


JEP-Sariyanti belum mengisytiharkan apakah mereka sekadar sahabat atau lebih daripada itu. - Foto Instagram

Sementara itu, Jep berkata beliau enggan melihat kisah mereka diperbesarkan memandangkan keakraban itu masih lagi baharu. Malah, kedua-duanya juga jarang berjumpa kerana komitmen kerja.

Dalam perkembangan lain, Jep kini sibuk dengan rakaman secara langsung Sepahtu Reunion (bagi siaran Astro Warna). Tidak lama lagi, beliau akan tampil pula dengan program bual bicara, Meja Bulat, bersama dua anggota Sepahtu yang lain iaitu Shuib dan Rahim.

Kata Jep, beliau berharap 2017 akan terus menyaksikan kumpulannya itu aktif di bidang seni.

"Ramai yang mahu melihat kami menghasilkan sesuatu yang lebih daripada sebelum ini. Apapun, saya berharap kerjaya Sepahtu masih kekal dengan momentum sebelum ini.

"Jangan turun sudahlah, Kami perlu menjaga amanah orang yang mempercayai bakat kami buat industri seni komedi," tuturnya.


Trending

    Disyorkan