Selasa, 23 Mei 2017 - 10:53PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Percutian ke Eropah eratkan hubungan keluarga - Eina Azman

Oleh Farhana Ab Rahman



Eina dan keluarga seronok bercuti di Switzerland.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datin Eina Azman, 22, mengakui percutian ke luar negara bersama anak kembar adalah pengalaman yang agak sukar, apatah lagi tanpa pengasuh.

Begitupun katanya, ia membuatkan beliau lebih matang dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.

Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, berkata pemergian selama sebulan ke Eropah itu juga mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan seumpama kerja berpasukan dengan suaminya sepanjang menjaga kembar mereka.

"Pada mulanya saya berdebar-debar juga untuk bercuti kali pertama tanpa pengasuh, memandangkan kedua-dua anak kami masih kecil. Maklumlah, ada masanya mereka meragam serentak.

"Selain memastikan si kecil selesa, saya juga perlu melakukan urusan lain termasuk memasak. Begitupun pada hakikatnya, ia tidak sesukar mana kerana suami sama-sama membantu menjaga mereka, termasuk menyuapkan anak dan bergilir menggantikan lampin.

"Alhamdulillah, buat masa ini semuanya masih terkawal. Terima kasih juga kepada adik dan kakak saya yang turut menolong menjaga Aubrey serta Karl," katanya yang kini berada di Switzerland.


Antara detik indah si kembar yang dibawa bercuti ke Eropah.

Katanya lagi, perubahan cuaca tampak memberi kesan terhadap si kecil selain mengganggu selera makan mereka.

"Selepas London dan Paris, kini kami singgah pula di Switzerland. Cuaca sekarang sangat sejuk. Aubrey dan Karl kurang berselera dan hanya bergantung kepada susu," katanya.

Sementara itu, Eina meminta maaf kepada pihak yang gagal menghubunginya sepanjang percutian berkenaan berikutan jarang berada di sisi telefonnya.

"Saya minta maaf tidak dapat membalas mesej dengan kadar segera. Sebenarnya, percutian ini adalah antara cara kami meluangkan masa berkualiti sekeluarga. Nyata, setiap saat yang kami lalui sangat bermakna," ujarnya.

Pelakon itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden, 37, pada 31 Ogos 2014 dan dikurniakan sepasang kembar, Arianna Aubrey dan Karl Kareef, 11 bulan.

EINA dan suami bercuti selama sebulan di Eropah.
ANAK Eina Azman dan Kaiser, Karl serta Aubrey.

Trending

    Disyorkan