Selasa, 10 Januari 2017 | 5:41pm

Berlakon bukan kerana saya taja filem - Aliff Syukri


ALIFF Syukri mencuba nasib sebagai pelakon. - Foto Rohanis Shukri

SHAH ALAM: Ahli perniagaan kosmetik, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, 30, menjelaskan beliau dibayar untuk membintangi filem pertamanya berjudul Badang arahan Prof Datuk Dr A Razak Mohaideen.

Katanya, kemunculannya dalam filem itu bukanlah disebabkan syarikatnya menaja penerbitan naskhah berkenaan.

Sedar ada pihak yang bakal mempertikaikan pembabitannya, Aliff menegaskan, beliau menerima tawaran berlakon dalam filem itu kerana minat yang sudah sekian lama terpendam, sejak dirinya belum bergelar usahawan.

"Saya tahu, ramai yang menganggap saya berlakon kerana saya menaja filem ini. Padahal, saya juga agak terkejut apabila ditawarkan watak utama sebagai Badang, malah saya tidak menyangka bayaran diberikan juga cukup lumayan," katanya.

Aliff turut mengakui dirinya masih begitu baharu dalam bidang itu dan tidak tahu selok-belok dunia lakonan, namun kerana minat mendalam, beliau sesekali takkan melepaskan peluang dihulurkan walaupun isterinya, Datin Nur Shahida Mohd Rashid, pada awalnya agak menghalang.

"Saya bukan mahukan duit, tetapi lebih kepada merealisasikan minat dan mahu menunjukkan bakat lakonan saya. Apa yang akan saya tampilkan nanti pula cukup berbeza daripada apa yang dilihat di kaca televisyen. Dalam filem ini, tiada watak 'gedik' ditonjolkan.


ALIFF dan Fasha Sandha menjadi teraju utama filem Badang. - Foto Rohanis Shukri

"Saya juga sebenarnya belum bersedia untuk dikritik. Meskipun begitu saya terpaksa pasrah kerana saya bukan seorang pelakon.

"Selama ini, hidup saya adalah bersama perniagaan dan apabila terpaksa meninggalkan urusan syarikat buat sementara waktu, saya kena terima sebab inilah jalan yang saya pilih," katanya yang menyerahkan urusan bisnes kepada isteri buat seketika.

Bercerita mengenai proses memujuk isterinya bagi membolehkan beliau mengasah bakat dalam lakonan, Aliff yang ditemui pada majlis pelancaran filem terbabit di sini, baru-baru ini, berkata dirinya mengambil masa tiga bulan untuk mendapatkan lampu hijau daripada wanita berkenaan.

"Saya berasal daripada keluarga yang boleh dikatakan alim juga dan memang tidak suka saya menjadi pelakon. Begitu juga dengan isteri, yang agak keberatan pada awalnya.

"Namun, selepas saya memujuk dan memberikan alasan yang beliau boleh terima, isteri akhirnya memberikan keizinan," katanya yang akan bergandingan dengan Fasha Sandha dalam filem itu.

Aliff turut berkata, tawaran yang diterimanya itu juga boleh dianggap batu loncatan untuk diri dan produknya lebih dikenali ramai.

Berita Harian X