Sabtu, 25 Februari 2017 - 5:05PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Nora tidak mahu wang hantaran, majlis bertunang

Oleh Zaidi Mohamad



PELAKON, Nora Danish. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nora Danish, 34, enggan berlebih-lebih dalam merencana majlis perkahwinannya bersama buah hati, Nedim Nazri.

Berharap perkahwinan itu dapat dilangsungkan pada tahun ini juga, Nora menegaskan, beliau hanya ingin melakukan acara wajib iaitu akad nikah.

"Insya-Allah kami merancang berkahwin pada tahun ini. Cuma, saya tidak mahu memaklumkan tarikhnya kerana bimbang tak jadi nanti.

"Siapa yang tidak mahu berkahwin? Sudah sendiri sudah bertahun-tahun mengatakan ingin berkahwin. Kalau semuanya dipermudahkan, saya hanya mahu majlis akad nikah yang diadakan di rumah secara kecil-kecilan dan seringkas mungkin," kata pengusaha jenama Owl by ND ini.

Bertemu ibu tunggal kepada Putera Rayqal pada majlis pelancaran portal beli-belah yang menawarkan keperluan ibadat haji, umrah dan fesyen Islamik mampu milik, Haqqi, di sebuah hotel terkemuka, semalam, Nora sedar ramai yang menantikan berita baik terbabit keluar daripada mulutnya.

"Kalau boleh, kali ini saya tidak mahu bertunang pun, wang hantaran juga takkan ada. Cukup buat yang wajib, iaitu nikah saja," katanya.

Sebelum ini, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Mereka berkahwin pada Jun 2006 dan bercerai kira-kira dua tahun kemudian.

Sementara itu, Nora berkata tahun 2017 bakal menyaksikan dirinya mengukuhkan lagi cabang perniagaan dan dunia lakonan.

"Filem lakonan saya bersama produksi Indonesia, Syurga Yang Tak Dirindukan 2, akan ditayangkan pada bulan depan. Filem ini agak cepat memasuki pawagam walaupun penggambarannya hanya dilakukan beberapa bulan lalu.

"Komitmen saya untuk filem terbabit juga hanya selama 20 hari, iaitu 10 hari di Indonesia dan selebihnya di Budapest, Hungary.

"Ketika ini, saya akan terbabit pula dengan penggambaran filem Cinta Bukan Malaikat, bergandingan dengan Ashraf Muslim. Kami akan terbang ke Makkah dan Madinah serta Bandung, bulan ini, untuk menjayakan penggambaran filem terbabit," katanya.


Trending

    Disyorkan