Selasa, 28 Mac 2017 - 12:26PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Pemandu lori parah tersepit

Oleh Fairuz Zaidan



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari membantu mengeluarkan pemandu lori yang cedera parah dan patah kaki kanan akibat tersepit dalam kemalangan membabitkan lori satu tan membawa muatan sejuk beku dan lori kontena di KM189 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Jasin, Melaka, pagi tadi. -Foto Ihsan Bomba

JASIN: Seorang pemandu lori parah akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah lori kontena di Kilometer 189 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, mangsa berusia 30-an patah kaki kanan dan cedera di perut akibat tersepit pada bahagian pemandu.

Bagaimanapun, pemandu lori kontena berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, lori satu tan dipandu mangsa membawa muatan barangan sejuk beku itu melekat pada bahagian belakang lori kontena terbabit sehingga terseret sejauh kira-kira 10 meter.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan II Nazaruddin Abd Malek, berkata sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 5.30 pagi.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa didapati tersepit pada bahagian tempat pemandu. Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa dan kemudian menghantarnya ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.


Trending

    Disyorkan