Selasa, 25 April 2017 - 8:32PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Lelaki diserang sawan lemas dalam tali air

Oleh Nor Izzati Mahd Nor



ORANG ramai mengangkat mayat mangsa yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Padang Temusu, Kubang Semang, Bukit Mertajam, pagi tadi.

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang diserang sawan maut dipercayai lemas, selepas terjatuh ke dalam tali air dalam kejadian di Padang Temusu, Kubang Semang di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Mohd Hazmi Ishak, 24, dipercayai menunggang motosikal bersendirian di laluan tali air berkenaan untuk pulang ke rumahnya, sebelum diserang sawan.

Difahamkan, motosikal Mohd Hazmi ditemui di atas tebing tali air berkenaan sementara mayat mangsa berada dalam keadaan tertiarap di dalam tali air terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata siasatan awal di lokasi kejadian, mendapati mangsa dipercayai mengalami sawan sehingga menyebabkan dia gagal mengawal motosikalnya sebelum terjatuh ke dalam tali air.

"Ketika itu tiada saksi melihat kejadian berkenaan dan ia hanya disedari orang awam yang melalui kawasan itu sebelum menghubungi polis.

"Pemeriksaan terhadap mayat tidak menemui apa-apa kesan kecederaan berunsurkan jenayah," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis percaya mangsa terjatuh selepas diserang sawan berdasarkan pengesahan yang dibuat bapa mangsa.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat," katanya.


Trending

    Disyorkan