Jumaat, 31 Mac 2017 - 6:50AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Pekerja asing: Antara realiti dan persepsi

Oleh J Solomon

MAJIKAN perlu bayar levi pekerja asing yang digajikan mereka dan ia tidak boleh diambil daripada pekerja itu. - Foto fail NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

PENGUMUMAN kerajaan baru-baru ini, iaitu majikan perlu bayar levi pekerja asing yang digajikan mereka dan ia tidak boleh diambil daripada pekerja itu. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), menyokong inisiatif itu dan harus dialu-alukan semua.

Pekerja asing penting bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi kita, namun sering dijadikan kambing hitam masyarakat dan sering dipersalahkan atas masalah sosial yang timbul.

Kajian Dasar Migrasi Buruh di Malaysia - Projek Tiga-Penjuru II, Pertubuhan Buruh Antarabangsa, mengenai pekerja asing di sini menyatakan 80 peratus rakyat Malaysia berasakan pekerja asing tidak layak dapat sebarang hak di tempat kerja dan dasar kerajaan perlu lebih ketat. Cuma, berjilid laporan lain dedah penganiayaan dan penindasan pekerja asing di Malaysia. Laporan Projek Tiga-Penjuru II juga menyatakan, kita sangat bergantung kepada pekerja asing yang membentuk 20 hingga 30 peratus tenaga kerja (berdokumen) sahaja.

Pekerja asing secara kolektif dalam sektor pertanian, pembuatan dan pembinaan menyumbang 35.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014. Kita bebas memilih dan boleh bertindak demi kepentingan diri. Tetapi, pekerja asing terikat kepada majikan, tiada pilihan atau kuasa tawar-menawar.

Usaha tak beban majikan

Tiga faktor perlu diambil kira. Pertama, kerajaan cuba menyenangkan majikan. Model Ekonomi Baharu (MEB) 2010 cuba mengurangkan kebergantungan pekerja asing dengan mengenakan levi untuk pekerjaan mereka, memperkenal gaji minimum, meningkatkan umur persaraan dan wanita memasuki dunia pekerjaan. Majikan hanya tahu mengadu.

Hasilnya, bayaran levi sekali lagi dipindah kepada pekerja asing dan semakan gaji minimum tertunda 18 bulan sebelum ini. Bagi membetulkannya, MEB 2016-2020 mengekalkan objektif mengehadkan pengambilan pekerja asing berkemahiran rendah. Keputusan majikan membayar levi harus digalakkan dan disokong.

Kedua, majikan beri hujah, ambil pekerja asing kerana rakyat tolak kerja itu. Untuk tujuan ini MTUC sedia bekerjasama dengan kerajaan dan majikan. Benarkah rakyat tidak mahu buat kerja itu atau adakah gaji ditawarkan tidak setimpal? Hujah Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bahawa pengenaan levi akan menyebabkan pendapatan pekerja asing dihantar ke negara asal. Jika itu benar, majikan perlu lebih bertanggungjawab ke atas berbilion-bilion ringgit yang keluar dari negara.

Satu lagi faktor perlu diambil berat adalah syarikat asing yang mendirikan perniagaan di Malaysia dan menghantar pulang keuntungan. Penghantaran balik untung dan pendapatan adalah sebahagian fungsi pelabur asing. Malaysia tetap mendapat manfaat lebih melalui pertumbuhan ekonomi.

Mitos lain perlu dinafikan adalah, apabila majikan menanggung beban levi, kos barangan dan perkhidmatan naik. Jika benar, ini menjurus kepada realiti bahawa pekerja asing digunakan untuk tambah margin keuntungan, bukan kerana rakyat Malaysia tidak mahu buat pekerjaan itu.

Juga, baru-baru ini Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengadakan Mesyuarat Asia dan Pasifik Ke-16 di Bali, disertai wakil kerajaan-majikan-pekerja dan mengisytihar Deklarasi Bali, mengatakan anggota ILO perlu meningkatkan dasar penghijrahan pekerja asing, termasuk tidak dikenakan bayaran pengambilan kerja atau kos berkaitan pekerja. Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) adalah wakil majikan dalam mesyuarat berkenaan.

Kebanjiran pekerja asing

Apabila kerajaan memperbaiki amalan dan memperkenal dasar baik untuk manfaat semua, MEF perlu sokong. Malah, MEF perlu nyatakan bahawa majikan di Sarawak pun perlu bayar levi bagi pekerja asing. Sudah terlalu lama, penggajian pekerja asing berlebihan membawa kebanjiran mereka di Malaysia, pemberhentian pekerja berleluasa, manakala kadar gaji rendah bertentangan dengan usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Kini, wujud keperluan meneliti lebih luas dan telus pengambilan pekerja asing, termasuk bagaimana dan kepada siapa lesen dikeluarkan untuk upah serta menyediakan pekerjaan. MTUC pada sidang perwakilan tahunan sejak tiga tahun lalu membuat resolusi berikut:

Hapus amalan membenarkan ejen, kontraktor dan orang tengah bertindak sebagai pembekal pekerja asing dan tegas menyekat semua pengambilan pekerja asing melainkan ikut keperluan, termasuk tidak melebihi 25 peratus daripada jumlah tenaga kerja sektor pertanian, pembuatan dan pembinaan.

Kerajaan perlu bentuk dasar pekerjaan kukuh dan jangka panjang, lebih aktif dan secara langsung, bukannya memberikannya kepada kontraktor peribadi bermotif keuntungan. Ada beberapa perkara perlu dikekalkan dalam kawalan kerajaan dan tidak boleh diswastakan.

Pemeriksaan buruh dan penguatkuasaan juga mesti dipertingkat. Ini akan bantu kerajaan pantau keperluan tenaga kerja sebenar majikan dan kawalan lebih baik ke atas pengambilan pekerja asing.

Malaysia, terutama sejak pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) perlukan kajian lengkap amalan pekerjaan, termasuk pengambilan dan syarat pekerjaan. Rangka Tindakan AEC adalah melabur untuk 'pekerja', berkongsi tanggungjawab dan meningkatkan sinergi antara syarikat, pekerja dan kerajaan untuk memastikan agar daya saing, dinamik dan inklusif bagi anggota ASEAN.

Kerajaan perlu segera babitkan MTUC dalam perbincangan melaksana pembaharuan. Majikan harus bekerjasama dan sokong usaha kerajaan.

Penulis ialah Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE)


Trending

    Disyorkan