Selasa, 28 Mac 2017 - 12:22PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Drama rompakan jalanan tak menjadi

Oleh Junita Mat Rasid



KETUA Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob (tengah) menunjukkan wang tunai lebih RM300,000 yang dicuri oleh pengawal keselamatan yang membuat laporan polis palsu, dalam kejadian di Pagoh Muar. - Foto Ibrahim Isa

MUAR: Polis hanya mengambil masa dua jam untuk menyelesaikan kes pengawal keselamatan yang bersubahat dengan orang lain untuk "merompak" wang pelanggan yang dibawa dengan membuat aduan palsu kononnya kenderaan mereka terbabit dengan kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam tadi, polis menahan tujuh suspek termasuk dua pengawal keselamatan dan pengurus cawangan syarikat keselamatan itu selepas didapati laporan mereka mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata siasatan awal mendapati pengurus terbabit adalah perancang utama kejadian itu bersama enam lagi lelaki.

Katanya, kejadian bermula apabila dua pengawal keselamatan diarahkan oleh pengurus cawangan syarikat keselamatan itu di Batu Pahat, supaya mengambil wang dari pelanggan di Segamat.

Katanya, dua pengawal keselamatan itu mengambil wang dianggarkan berjumlah RM300,000 sebelum bergerak pulang ke Batu Pahat dengan van milik syarikat.

"Bagaimanapun dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat, pengawal keselamatan terbabit mendakwa van yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Batu 21, Jalan Labis-Muar, dekat Lenga.

"Suspek mendakwa mendapati pintu belakang van terbabit terbuka dan wang tunai milik syarikat hilang sebelum membuat laporan di Balai Polis Pagoh," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini hari ini.

Azman berkata, hasil soal siasat mendapati laporan polis yang dibuat itu mencurigakan sehingga membawa kepada penahanan tujuh lelaki termasuk pengurus cawangan syarikat keselamatan terbabit.

"Pengurus cawangan itu mengaku kejadian itu adalah perancangan mereka dan susulan itu polis berjaya menjumpai semula wang tunai berjumlah RM309,706 yang disimpan oleh suspek.

"Hasil soal siasat terhadap semua suspek didapati laporan yang dibuat adalah palsu. Semua suspek ditahan kira-kira dua jam selepas laporan polis yang dibuat," katanya.

Azman berkata, semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah berkaitan samun dan dadah.

Katanya, seorang daripada suspek turut dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), dekat sini akibat kecederaan dan sakit jantung.


Trending

    Disyorkan