Selasa, 28 Mac 2017 - 12:29PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Usrah Fitrah dibubar, artis luah rasa terkilan

Oleh Zaidi Mohamad



SELEPAS lima tahun bergerak sebagai wadah perjuangan agama Islam dan penganjuran aktiviti kerohanian, pertubuhan yang turut disertai oleh ramai selebriti, Usrah Fitrah (UF), dibubarkan 8 Januari lalu. - Foto twitter.com/bungaLejen

KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun bergerak sebagai wadah perjuangan agama Islam dan penganjuran aktiviti kerohanian, pertubuhan yang turut disertai oleh ramai selebriti, Usrah Fitrah (UF), dibubarkan 8 Januari lalu.

Pembubaran berkenaan tentu saja mengejutkan banyak pihak, termasuk kalangan artis yang sekian lama mengikuti aktiviti anjuran pertubuhan terbabit.

Begitupun, artis yang sering menyokong usaha UF memilih untuk tidak mengulas lanjut pembubaran berkenaan apabila masing-masing berasakan mereka bukanlah calon terbaik untuk berbuat begitu.

Heliza Helmi, Yatt Hamzah, Zoey Rahman, Diana Amir, Salima AF4 dan Siti Nordiana antara mereka yang kuat menyokong kegiatan dianjurkan pertubuhan itu.

Tidak ketinggalan menambah ilmu bersama pertubuhan itu ialah anggota kumpulan nasyid Saujana, Suffian, yang juga penyampai radio IKIM sejak 15 tahun lalu.

"Saya yang mula mengikuti aktiviti UF sejak empat tahun lalu amat kecewa dan terkilan dengan keputusan ini. Ia sebuah pertubuhan yang berjaya merapatkan silaturahim sesama kami. Istilah 'sisterhood' dan 'brotherhood' berjaya disaksikan menerusi UF. Ikatan persaudaraan sesama kami dalam UF sangat dahsyat.

"Sesibuk mana pun artis yang terbabit dengan pertubuhan ini, dalam kerjaya seni mereka, masing-masing tetap berusaha untuk memberikan komitmen terhadap segala wadah perjuangan yang disalurkan. Begitupun, untuk memberi komen berhubung pembubarannya, saya bukan calon tepat," katanya.

Suffian turut mengakui kurang maklum mengenai punca sebenar ia dibubarkan.

"Jika ada salah faham atau apa yang tak kena, sepatutnya ia dirujuk kepada mereka yang lebih berpengalaman. Saya dan teman lain boleh dianggap terlalu muda untuk campur tangan. Pasti ada jalan penyelesaiannya. Namun, keputusan pembubaran UF memang membuatkan saya sedih," katanya.

Zoey yang pernah bertindak sebagai Naib Pengerusi UF berkata, ramai yang sayangkan pertubuhan berkenaan.

"Jika boleh, saya masih mahu mengekalkannya. Begitupun, jika pembubarannya menjadi jalan terbaik, saya akur dengan keputusan ini," katanya.

UF pada asalnya hanyalah kelas agama tertutup bagi golongan artis, selebriti dan penggiat seni. Ketika itu, pelbagai aktiviti kerohanian dan aktiviti menjurus ke arah kebaikan serta amal dianjurkan.

Kelas Usrah bermula dengan hanya beberapa pelajar, namun berjaya mencecah ratusan ahli, yang datang dan pergi, terdiri daripada golongan selebriti serta penggiat seni belakang tabir.

Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online hari ini, sepanjang lima tahun penubuhan UF yang berpejabat di Wangsa Melawati itu, ia melalui dua fasa perlantikan pengerusi dan ahli jawatan kuasa (AJK) yang bertanggungjawab mengendalikan setiap aktiviti atau program sepanjang tahun. Pemilihan dan perlantikan pengerusi serta AJK pula dijalankan mengikut undian sewaktu mesyuarat agung.

Pada 8 Januari lalu, perjumpaan khas diadakan di Club House Seri Riana Residence yang dihadiri AJK lama dan baharu, serta tenaga pengajar.

Akhirnya, undian tanpa dirancang dibuat dan hasil cadangan serta perbincangan 27 ahli yang hadir, kata sepakat diraih dan UF dibubarkan secara rasmi demi kebaikan bersama. Menurut kenyataan itu juga, seperti biasa, ada yang tidak bersetuju dengan pembubaran berkenaan, namun mereka tetap akur.


Trending

    Disyorkan