Isnin, 23 Januari 2017 - 6:24AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

7 ditahan tebang balak haram

Oleh Mohd Rafi Mamat



JENGKAUT yang berjaya dirampas selepas menceroboh Hutan Simpan Berkelah. - Foto MOHD RAFI MAMAT

KUANTAN: Tujuh individu termasuk seorang warga Indonesia ditahan Unit Penguat Kuasa Jabatan Perhutanan Pahang ketika cuba mengeluarkan kayu cengal secara haram di Hutan Simpan Berkelah, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman, berkata mereka yang ditahan berusia 30 hingga 50 tahun dan pihaknya turut merampas dua jentera iaitu jentolak dan jengkaut serta pemotong kayu bergergaji.

Beliau berkata, rondaan anggota unit itu bermula jam 3 pagi melalui kawasan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Sungai Pohoi, di sini, berjaya menemui laluan jentera dan pemeriksaan dilakukan dalam hutan simpan itu mendapati sebuah jentolak sedang melakukan kerja di kawasan bukit.

"Keadaan gelap menyebabkan pemandu jentera tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa. Semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984, jika sabit kesalahan boleh didenda atau dipenjara atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Paiz berkata, mereka juga tidak sempat menebang pokok cengal yang dipercayai banyak terdapat di kawasan hutan simpan berkenaan.

"Ini kejayaan pertama oleh unit penguat kuasa kita tahun ini dalam usaha membendung kegiatan menceroboh dan membawa keluar balak secara haram di hutan simpan di negeri ini," katanya.