Selasa, 23 Mei 2017 - 10:50PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Jangan pertikai kejayaan Mohd Faiz - Khairy

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan



MOHD Faiz menjawab soalan pemberita pada sidang media ketika majlis sambutan ketibaannya di KLIA, hari ini. Turut kelihatan Khairy Jamaluddin (kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas pihak yang mempertikai kejayaan Mohd Faiz Subri merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 yang diterimanya semalam.

Malah, Khairy menyifatkan mereka yang mengkritik dan mempertikai kejayaan penyerang Pulau Pinang itu sebagai individu yang tidak pernah merangkul anugerah di peringkat dunia.   

"Saya rasa yang bagi kritikan (terhadap kejayaan Faiz) ini, mereka tidak pernah menang anugerah peringkat dunia. 

"Jadi sesiapa saja yang buat kecaman berkenaan benda yang remeh ini mungkin patut lihat kepada pengiktirafan yang Faiz sudah bawa kepada Malaysia.  

"Mereka ini sebenarnya tiada apa-apa sumbangan kepada negara," kata Khairy pada sidang media menyambut kepulangan Faiz dari Zurich Switzerland di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini. 

Terdapat segelintir pihak yang mengkritik kejayaan Faiz termasuk menganggap jaringan ajaibnya itu sebagai nasib selain mempertikai pemakaian Faiz pada anugerah itu yang berbeza dengan sebelumnya mahu mengenakan baju Melayu. 

Selain itu, tindakan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kejayaan itu sebagai bukan penanda aras baharu bola sepak negara juga turut mendapat pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tanah air. 

Dalam perkembangan sama, Khairy turut menyifatkan kejayaan Faiz itu sebagai sinaran emas bola sepak negara apatah lagi ketika Malaysia banyak berdepan kekecewaan dalam sukan itu sebelum ini.   

"Ini adalah kali pertama kemenangan Malaysia di peringkat dunia pada Anugerah FIFA. Bukan hanya penyokong bola sepak Pulau Pinang, bukan saja rakyat negeri Kedah, tapi seluruh rakyat Malaysia sangat bangga dan berterima kasih kepada Faiz kerana mengharumkan nama negara. 

"Jarang sekali kita mendapat berita yang baik dalam bola sepak, tapi dalam keadaan yang sedemikian satu sinaran emas yang dapat kita lihat dengan Faiz dinobatkan sebagai pemenang di depan mata dunia," katanya.


Infografik

Trending

    Disyorkan