Rabu, 11 Januari 2017 | 8:05pm

Adenan pembela rakyat Sarawak yang berani dan ikhlas


TAN Sri Lee Lam Thye.- Foto Edmund Samunting

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem seorang yang berani dan ikhlas dalam membela hak rakyat Sarawak selain memperjuangkan penyatuan rakyat Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaaffar, berkata Adenan sedar untuk menjalin perpaduan dan kesepakatan di kalangan rakyat Malaysia, maka seorang pemimpin perlu menerima pakai dan melaksanakan dasar yang adil dan saksama kepada semua orang.

"Selain itu, Adenan juga seorang yang berpegang teguh kepada dasar inklusif. Malah, beliau seorang yang tidak berkompromi terhadap ketaksuban dan cauvinisme," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Adenan dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pemergian Adenan satu kehilangan besar kepada Sarawak dan meninggalkan legasi perjuangan kesederhanaan dan kepelbagaian untuk rakyat di negara ini. 

Katanya, sebagai Ketua Menteri, Adenan banyak mengeluarkan kenyataan mengenai kesederhanaan, integrasi serta perjuangan dalam menentang ekstremis.

"Sarawak di bawah kepemimpinan Adenan selama dua tahun menampakkan perubahan besar di negeri berkenaan terutama dari segi pembangunan. 

"Bandar Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan yang pertama di Malaysia oleh Yayasan 1Malaysia dapat dicapai dengan adanya sokongan penuh daripada Adenan. 

"Yayasan 1Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongannya terhadap inisiatif berkenaan," katanya.

Berita Harian X