Sabtu, 25 Februari 2017 - 5:12PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Maut berlanggar dengan lori bapa saudara

Oleh Muhammad Mustakim Ramli



NURUL Batrisya Nasrul Hadi yang maut selepas dilanggar lori dua tan yang dipandu bapa saudaranya di Kampung Padang Gelam, di sini, pagi tadi.- Foto NSTP

KANGAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut apabila secara tidak sengaja dilanggar lori dipandu bapa saudaranya di Kampung Padang Gelam, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Nurul Batrisya Nasrul Hadi, dikatakan berlari keluar dari rumahnya secara tiba-tiba untuk melihat jentera sawah padi dan pada masa sama, bapa saudaranya pula sedang mengalihkan lori.

Ibu mangsa, Shakirah Bakar, 33, ketika ditemui berkata anak bongsunya dari dua beradik itu mati sejurus kejadian kerana cedera parah akibat berlanggar dengan bahagian belakang lori berkenaan.

"Ketika itu, saya ada dalam rumah dan hanya mengetahui selepas abang (bapa saudara mangsa) mengangkat Batrisya yang tercedera masuk ke rumah.

"Sebelum kejadian, dia (Nurul Batrisya) menangis kerana tidak membenarkan bapanya, Nasrul Hadi Ramli, 36, keluar ke tempat kerja, saya tak sangka itu petanda akhir dia akan meninggalkan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1981.

YAACOB Saad yang merupakan datuk saudara Nurul Batrisya, menunjukkan bahagian belakang lori yang menyebabkan cucu saudaranya meninggal dunia pagi tadi. - Foto NSTP

Trending

    Disyorkan