Jumaat, 20 Januari 2017 - 5:19AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

8 diusir apabila polis jumpa gambar Daesh, IS

Oleh Safeek Affendy Razali



BAHAGIAN Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, mengusir pulang lapan warga Indonesia berikutan seorang daripada mereka menyimpan gambar berkaitan pengganas Daesh dan Negara Islam (IS). - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, mengusir pulang lapan warga Indonesia berikutan seorang daripada mereka menyimpan gambar berkaitan pengganas Daesh dan Negara Islam (IS).

Kumpulan berkenaan yang juga penuntut Sekolah Pondok, Darul Hadits, Bukit Tinggi, Sumatera Barat, ditahan pihak berkuasa Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodland, Singapura, pada jam 1.30 pagi semalam selepas pemeriksaan mendapati gambar berkaitan pengganas itu ada dalam telefon bimbit seorang daripada mereka.

Sumber berkata selepas pihak berkuasa Singapura meletakkan mereka pada status 'Di Larang Masuk' (NTL)" ke republik itu, mereka diserahkan kepada polis Malaysia yang kemudian menahan kumpulan berkenaan pada jam 2.30 pagi hingga 9 pagi untuk siasatan lanjut.

"Hasil soal-siasat mendapati, suspek bernama Ridce memperoleh gambar berkaitan Daesh itu melalui satu kumpulan whatsapp yang disertainya," katanya.

Selepas siasatan dijalankan, suspek diusir ke Batam, Indonesia dengan menaiki sebuah feri sebelum ditahan dua jam kemudian oleh Polis Republik Indonesia (POLRI) dan Polis Daerah Riau, untuk siasatan susulan.

Lapan individu itu dilaporkan memasuki negara ini pada 3 Januari lalu bagi mendapatkan rawatan kesihatan salah seorang daripada mereka di ibu negara.

Empat hari kemudian, mereka dilaporkan bermalam di Perlis sebelum menuju ke di Pattani, Thailand, untuk belajar mengenai sistem pendidikan di Lembaga Pendidikan Islam di daerah berkenaan.

Sumber berkata, pada Isnin lalu, mereka kembali ke negara ini dan menuju ke Johor selepas merancang untuk bermalam di Singapura.

"Ketika pemeriksaan, pihak imigresen Singapura menemui gambar-gambar kumpulan militan DAESH, gambar bom buatan tangan menggunakan kasut serta imej IS dalam telefon bimbit salah seorang suspek dikenali sebagai Ridce Elfi Hendra.," katanya.