Selasa, 25 April 2017 - 8:23PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Tukar kasut sekolah seminggu sekali

Oleh Siti Rohana Idris



MUHAMMAD Alif yang mengidap penyakit saraf sejak lahir memakai penyokong kasut (kaliper) sumbangan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebakat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar.

TUMPAT: Kaki kerap melecet hingga berkudis dan sering terjatuh adalah situasi yang biasa dialami Muhammad Alif Ikhwan Mat Nawi, 11, yang menderita sejenis penyakit saraf.

Menghidap penyakit yang dinamakan Spinal Bifida sejak lahir menjadikan kedua-dua belah kaki Muhammad Alif lembik dan tidak dapat berjalan dengan normal.

Malah kasut sekolah yang dipakai murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kebakat itu terpaksa ditukar seminggu sekali, berikutan bahagian tepinya yang kerap terkoyak.

Ibunya, Zaini Muhamed, 50, berkata Muhammad Alif berjalan dengan cara menyeret kaki yang menyebabkan kasut dan seliparnya kerap koyak di bahagian tepi kerana bergesel.

"Sejak di Tahun Satu, anak saya diletakkan di bilik darjah tingkat bawah bagi memudahkan pergerakannya dan sering mendapat keistimewaan yang disediakan oleh pihak sekolah kerana kekurangannya itu.

"Bagaimanapun anak saya seorang yang aktif malah sekiranya penat ketika bermain bola, dia akan merangkak kerana keadaannya kakinya yang tidak normal seperti orang lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Sarang Burung di sini.

Muhammad Alif menerima sumbangan sepasang alat penyokong kaki (Calliper) daripada pihak Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) pada Jun tahun lalu yang bernilai RM10,000.

Zaini berkata, alat itu memang memudahkan pergerakan anaknya namun ia jarang dipakai mungkin disebabkan tidak selesa.

Katanya, Muhammad Alif juga terpaksa dipakaikan lampin pakai buang disebabkan masalah gagal mengawal pembuangan air kecil dan besar yang berkait dengan masalah masalah saraf tunjang yang dialami.

Zaini yang bekerja sebagai tukang masak di asrama sebuah sekolah agama di sini berkata dengan pendapatannya yang kurang daripada RM900 sebulan, keadaan itu agak membebankannya.

"Suami saya, Mat Nawi Mat Hassan, 55 menghidap angin ahmar sejak tahun lalu dan tanggungjawab menyara keluarga di bahu saya.

"Kos membeli lampin pakai buang Muhammad Alif dianggarkan sekitar RM500 sebulan selain terpaksa menanggung dua anak yang masih bersekolah," katanya.

TIMBALAN Ketua Ahli Muda Orang Kota Bharu (OKB), Dr Mohd Izzudin Yahya (tiga kanan) bersama ibu Alif, Zaini Muhamed (kiri) memakaikan penyokong kasut (kaliper) kepada Muhammad Alif. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
TIMBALAN Ketua Ahli Muda Orang Kota Bharu (OKB), Dr Mohd Izzudin Yahya (kiri) menyampaikan pakaian baju sekolah kepada Muhammad Alif. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Lagi Berita:

Trending

    Disyorkan