Jumaat, 20 Januari 2017 - 5:18AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

FAM cadang perkenal anugerah gol tercantik Liga M

Oleh Zulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan


SEPANG: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia menimbangkan cadangan mewujudkan anugerah baharu jaringan gol tercantik Liga Malaysia (Liga M) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan bagi masa akan datang.


TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah menjelaskan kaedah itu bakal menambah kerancakan Liga M selain memberi semangat untuk semua pemain mencipta jaringan ajaib seperti yang dilakukan Mohd Faiz Subri.

Katanya, ia juga boleh memudahkan FAM memilih jaringan terbaik untuk dihantar ke pencalonan Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Sekarang ini kita sudah mempunyai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan dan mungkin kita boleh menambah kategori bagi jaringan tercantik Liga M.

"Mungkin akan muncul lagi jaringan ajaib seperti yang dilakukan Faiz dan pemenang anugerah itu boleh kita angkat untuk dicalonkan dalam Anugerah Puskas untuk masa akan datang," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Jaringan ajaib yang membawa tuah kepada Faiz hingga berjaya memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 jelas membuka mata semua pihak, bukan saja di Malaysia malah juga peringkat dunia.

Faiz muncul pemain Asia pertama memenangi anugerah peringkat dunia dan dia kini setaraf dengan pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo yang menjadi pemenang sulung Anugerah Puskas 2009.