Isnin, 23 Januari 2017 - 6:27AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Adenan tegas namun disenangi rakyat - Pemimpin pembangkang


TAN Sri Muhyiddin Yassin bersama Datuk Seri Muhkriz Mahathir membaca yaasin ketika hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ketua Menteri Sarawak,Tan Sri Adenan Satem di Damai Jaya, Santubong. - Foto ihsan Pembaca

KUALA LUMPUR: Ketegasan dan keadilan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dalam mentadbir negeri bukan hanya disanjungi pemimpin kerajaan malah keperibadian itu turut diakui barisan pemimpin pembangkang.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang tegas, adil dan berjiwa rakyat.

"Saya amat terkejut dengan berita kematian Allahyarham. Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat seluruh rakyat Sarawak dan Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Adenan meninggal dunia kira-kira 1.30 tengah hari di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching, 16 hari sebelum hari lahirnya yang ke-73.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemergian Adenan merupakan suatu kehilangan besar buat negeri berkenaan yang selama hampir dua tahun ditadbir seorang pemimpin yang amat disenangi segenap lapisan masyarakat.

"Allahyarham menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam memperjuangkan nasib rakyat dan negeri Sarawak sejak mula menerajui pemerintahan negeri pada Mac 2014.

"Banyak perubahan positif yang telah dan sedang beliau usahakan dalam memajukan Sarawak," kata Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang.

Sementara itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan diri sendiri.

"Allahyarham banyak menabur bakti kepada rakyat Sarawak sejak menjadi wakil rakyat pada 1979 malah seorang tokoh federalisme yang mengangkat semangat Perjanjian Malaysia 1963.

"Adenan juga berjuang untuk hak rakyat Sarawak termasuk otonomi fiskal melibatkan peningkatan royalti minyak 20 peratus," demikian menurut Presiden Keadilan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama hari ini.

Pengerusi Keadilan Sabah Christina Liew menganggap Allahyarham sebagai pemimpin yang tegas dan sumber inspirasi kepada Sarawak dan Sabah terhadap isu hak asasi di bawah perjanjian Malaysia 1063.

"Bagi pihak Parti Keadilan Sabah, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham ketua menteri," katanya. - BERNAMA