Khamis, 12 Januari 2017 | 12:00am

Saham AS dibuka mendatar

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) sebahagian besarnya dibuka mendatar, menjelang sidang media rasmi pertama Presidennya, Donald Trump, yang mana beliau dijangka mengumumkan mengenai perancangannya untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Trump yang secara rasmi akan mengambil alih jawatan itu pada 20 Januari ini dijadualkan berucap di New York pada jam 11 pagi ET (1600 GMT).

Pada pemilihan Trump November lalu, mencetuskan rali pasaran saham. Namun, pelabur kini mahukan lebih kepastian sejauh mana beliau mampu mengotakan janji yang dibuat dalam kempen sebelumnya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi walaupun berhadapan peningkatan perbelanjaan, pemotongan cukai dan penghantaran pulang dana syarikat AS dari luar negara.

Dolar turut meningkat berbanding yen.

Bagaimanapun, kebimbangan berhubung beberapa kenyataan bersifat 'melindungi' daripada beliau menyebabkan pelabur lebih berhati-hati.

Niaga hadapan harga minyak masih bertahan, yang mana meningkat buat kali pertama dalam tempoh tiga hari selepas Arab Saudi dilaporkan mengurangkan bekalan pada Februari kepada beberapa pelanggannya di Asia.

"Secara keseluruhan, pasaran saham kekal kukuh dan komoditi masih mendahului pasaran pada hari ini, menjadikan trend pasaran meningkat," menurut Ketua Pasaran Ekonomi di First Standard Financial, dalam notanya.

Indeks E-mini Dow naik dua mata, atau 0.01 peratus pada 8.47 pagi ET, dengan 21,832 kontrak bertukar tangan.

Indeks E-mini S&P 500 pula jatuh dua mata, atau 0.09 peratus, dengan 123,587 kontrak diniagakan.

Indeks E-mini Nasdaq naik 0.75 mata, atau 0.01 peratus, dengan 19,484 kontrak. - REUTERS

Berita Harian X