Khamis, 12 Januari 2017 | 12:02am

'Penerbit tidak boleh layan pembaca ibarat mesin ATM'


BARISAN panel dari kiri; Hafiz, Syazrul, Zamri dan Mohd Khair berbincang pada Forum Gelanggang Oakheart. - Foto Owee Ah Chun

BANGI: Penerbit buku perlu memulakan interaksi dengan pembaca secara kerap dan bersungguh-sungguh, sekali gus tidak lagi sekadar 'melayan' mereka seperti 'mesin ATM' demi mendepani cabaran industri buku yang dijangka akan lebih getir pada tahun ini.

Kesukaran itu berpunca daripada kombinasi keadaan ekonomi yang tidak menentu sehingga mengurangkan keupayaan membeli masyarakat, selain pengenalan kad debit bagi menggantikan Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M) dalam pengumuman Bajet 2017.

Titik interaksi yang dihidupkan termasuk oleh perkhidmatan pelanggan akan memanjangkan hayat sesuatu naskhah seperti disorot oleh Perunding Penerbitan dan Pembangunan Penulis, Zamri Mohamad pada Gelanggang Oakheart#12: Industri Buku 2017, di Legasi Oakheart, di sini.

Interaksi dengan pembaca

Katanya, situasi semasa menunjukkan interaksi dengan pembaca hanya berlaku apabila buku mahu dikeluarkan sedangkan diskusi itu perlu berlangsung dari proses menulis bermula sehinggalah diedarkan kepada pembaca.

"Tanpa interaksi dengan pembaca, bukan sahaja sesuatu buku sudah mati sebelum dijual lagi, bahkan kedai buku akan hanya dilihat seperti kedai runcit yang barang diambil dan kemudian dibayar tanpa sebarang interaksi.

"Bagaimana sesebuah buku itu boleh menghasilkan interaksi dan membentuk pembudayaan adalah cabaran yang perlu dijawab penerbit pada tahun ini," katanya dalam diskusi kendalian Ketua Pegawai Eksekutif Legasi Oakheart, Hafiz Latiff.

Turut menyertai diskusi sempena #KABO24JAM itu, Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif Terfaktab Media, Syazrul Aqram.

Sementara itu, Mohd Khair menyarankan industri buku mengekori rapat Jepun dan Korea yang berjaya mengangkat karya sastera mereka melalui pelbagai kajian dan tulisan.

Setaraf novel antarabangsa

Katanya, novel Sasterawan Negara (SN), Datuk A Samad Said, Salina tidak 'meletup' sehinggalah kajian mengenainya dilakukan oleh penganalisis sastera dan sarjana terkemuka dunia, Prof A Teuuw yang menobatkan naskhah berkenaan setaraf novel antarabangsa.

"Salina hanya memenangi hadiah sagu hati ketika pertandingan, malah novel yang memenangi pertandingan itu tidak sepopular Salina, jadi sebenarnya kekurangan kita ialah tulisan yang mengkaji buku bermutu ini," katanya.

Mohd Khair berkata, penerbit perlu lebih kreatif bagi menghadapi cabaran industri buku yang dilakukan oleh ITBM dengan menjalin usaha sama penerbitan terutama selepas ketiadaan katalis seperti yang diterima melalui BB1M sebelum ini.

"Terbaru, kami bekerjasama dengan penerbit dari China untuk menterjemah buku Jack Ma selain 10 judul lain. Kita juga sudah memeterai perjanjian buku Sang Kancil dengan China berdasarkan kekuatan dimiliki pada elemen budaya kita," katanya.

Dalam isu lain, Syazrul menyambut baik keputusan penganjur memindahkan semula Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas kali pertama diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada tahun lalu.

"PBAKL ialah budaya yang dibawanya, malah khalayak PWTC juga adalah daripada pembaca buku tegar, tetapi budaya itu tidak dapat dirasai di MAEPS," katanya.

Berita Harian X