Khamis, 27 April 2017 - 1:47AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

PROTON tawar pakej YES Altitude 4G

Oleh Norzamira Che Noh


SHAH ALAM: Pelanggan PROTON Holdings Berhad (PROTON) berpeluang mendapatkan pakej data internet 16GB setiap bulan secara percuma selama 12 bulan menerusi Pelan PROTON YES Altitude.

Pakej yang baru diperkenalkan itu hasil kerjasama PROTON dengan YTL Communications Sdn Bhd (YTLC), dijangka menaikkan taraf dari jalur lebar 4G mudah alih ke telefon pintar YES Altitude 4G LTE.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata tawaran 12 bulan percuma itu sah dengan mana-mana pembelian kereta varian Executive ke atas, bermula dari tarikh kereta didaftarkan berkuat kuasa hari ini.

"Promosi ini mampu menambah pengalaman bersama kerana ia membenarkan pelanggan berhubung melalui liputan mudah alih dengan fungsi internet pantas.

"Tawaran ini hanya sah sementara stok masih ada dan kami yakin ia memberi manfaat kepada pelanggan melalui rangkaian YES sebagai peneraju global bagi internet 4G, dengan dua rangkaian mudah alih teguh.

"Ia membabitkan 4G LTE dan VoLTE serta jalur lebar 4G yang merangkumi liputan 85 peratus negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian program DRB-HICOM Auto Fest di Ibu Pejabat EON, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YTLC, Wing K Lee dan Pengarah Eksekutif YTLC Datuk Yeoh Soo Keong.

Ahmad Fuaad berkata, pelanggan boleh memuat turun aplikasi MyProton dengan telefon pintar YES Altitude 4G LTE untuk memandu uji kereta, membuat temu janji servis dan mendapatkan maklumat mengenai kereta Proton serta tawaran sedang berlangsung.

Sementara itu, K Lee berkata, pihaknya memuji wawasan PROTON sebagai pemimpin industri untuk menyediakan gaya hidup mudah alih berhubung untuk pelanggan.

"Kami berbangga menjadi sebahagian daripada kerjasama yang dijalinkan sejak 2011," katanya.


Trending

    Disyorkan