Jumaat, 19 Disember 2014 | 5:39pm

Geran RM20j untuk keusahawanan sosial


Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto Surianie Mohd Hanif

CYBERJAYA: Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) memperuntukkan geran RM20 juta bagi menyokong pembangunan bidang keusahawanan sosial di Malaysia.

Dana itu membolehkan usahawan tempatan mendapat sokongan kewangan untuk menjalankan perniagaan yang menjurus kepada kegiatan meningkatkan taraf sosial masyarakat secara keseluruhan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi MaGIC, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kerajaan akan menambah peruntukan dana berkenaan jika permintaan terhadapnya meningkat pada masa depan.

Buat masa ini, katanya MaGIC sudah menyalurkan RM480,000 dana keusahawanan sosial dan masih banyak yang boleh dipohon oleh syarikat yang menjalankan perniagaan berkaitan pembangunan sosial.

"Jika permintaannya hebat, kerajaan akan menambah lagi (peruntukan). Buat masa ini, pergerakan usahawan sosial kebanyakannya adalah secara bersendirian, disebabkan itulah kerajaan mahu MaGIC mengumpulkan mereka bersama.

"Hari ini, kita menyaksikan ada kira-kira 200 usahawan sosial di luar sana, justeru dengan adanya usaha MaGIC diharapkan dapat membina sebuah platform untuk mereka bertemu dan membincangkan pelbagai perkara," katanya pada pelancaran pelan inuk keusahawanan sosial MaGIC di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Cheryl Yeoh dan Pengarah Bahagian Keusahawanan Sosial MaGIC, Grace Sai.

Dana RM20 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global tahun lalu itu dibahagikan kepada dua, yang mana separuh akan digunakan untuk membangunkan ekosistem dan sektor keusahawanan sosial secara umum manakala separuh lagi akan dilabur terus bagi menyokong keperluan usahawan sosial.

Mohd Irwan berkata, idea membangunkan keusahawanan sosial adalah kerana kerajaan mahu memupuk budaya perniagaan yang memberi balik kepada masyarakat dan bukan semata-mata membuat keuntungan, atau membuat kerja kebajikan sambil menjalankan perniagaan.

"Usahawan sosial tidak menjana keuntungan terlalu banyak, tetapi cukup untuk menampung keperluan (operasi) mereka. Inilah budaya keusahawanan baharu di Malaysia yang mana golongan muda menubuhkan syarikat untuk membuat kerja kebajikan sambil membuat keuntungan," katanya.

Pada majlis hari ini, lima syarikat dipilih pemenang Anugerah Implify yang sekali gus menjadi penerima pertama geran di bawah dana keusahawanan sosial.

Lima syarikat berkenaan ialah Makanlah, Arus Academy, Epic Homes, Mabul Skill Projects dan Tonibung.

Berita Harian X