Selasa, 31 Januari 2017 | 12:51pm

Annuar Musa digantung kes tajaan TRW, UniKL

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) berkuat kuasa serta merta hari ini, berkaitan tajaan pasukan bola sepak Kelantan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi berkenaan.

Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata keputusan itu bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku dan penyelewengan kuasa dikaitkan terhadap Annuar.

Katanya mesyuarat tergempar yang dihadiri semua Ahli Majlis MARA hari ini sebulat suara bersetuju dengan keputusan berkenaan, selaras hasrat agensi dalam memastikan kepentingan dan amanah rakyat sentiasa dipelihara.

"Hari ini kita bermesyuarat mengenai isu semasa dan keperluan untuk mempertahankan integriti serta pengurusan korporat MARA, justeru Ahli Majlis sebulat suara dalam beberapa keputusan.

"Kita bersetuju membincangkan isu tajaan MARA melalui PMB dan UniKL terhadap pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warrior (TRW) yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.


ANNUAR Musa digantung tugas sebagai Pengerusi MARA dan PMB berkuat kuasa serta merta hari ini. - Foto Azhar Ramli

"Sehubungan itu, MARA terpaksa mengambil tindakan tuntas dengan menggantung tugas Annuar supaya isu ini tidak berlarutan sehingga menyebabkan keyakinan rakyat kepada pengurusan kerajaan semakin terhakis," katanya dalam sidang media, di ibu pejabat MARA, di sini sebentar tadi.

Isu berkenaan tercetus selepas Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa MARA dan UniKL mengeluarkan dana bagi menaja TRW.

Bagaimanapun, Annuar menafikan kedua-dua agensi itu dipaksa menaja pasukan berkenaan, sekali gus menolak kemungkinan wujud salah guna kuasa.

Ditanya sama ada laporan mengenai isu terbabit akan dibuat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yusof berkata langkah itu belum dibincangkan.

Beliau berkata MARA sebaliknya berhasrat menyelesaikan siasatan dalaman berkenaan sebelum mengemukakan sebarang laporan rasmi kepada SPRM.

"Biarlah kita buat siasatan dalam rumah sendiri dulu sebelum ajukan perkara ini kepada SPRM jika mendapati wujud salah guna membabitkan Annuar. Annuar sudah dimaklumkan mengenai keputusan ini dan beliau akur supaya siasatan berhubung isu terbabit perlu dijalankan," katanya.

Susulan keputusan itu, Yusof berkata, beliau akan memangku kedua-dua tugas Annuar sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi PMB selepas mendapat persetujuan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.


AHLI Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob pada sidang media berhubung penggantungan Annuar Musa sebagai Pengerusi MARA di Pejabat MARA, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali
Berita Harian X