Sabtu, 11 Februari 2017 | 8:25pm

Festival Catur Putrajaya 2017 cipta rekod


DATUK Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyaksikan penyerahan sijil Malaysia Book of Records (MBOR) oleh wakil MBOR, Nurashikin Ramli (kiri) kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18, Salmiah Hashim di Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Festival Catur Putrajaya 2017 hari ini mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Pertandingan Catur dengan Penyertaan Kanak-Kanak Teramai di Malaysia.

Pertandingan berkenaan yang dianjurkan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18 (1) di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini disertai 1,224 murid berusia 16 tahun dan ke bawah.

Sijil pengiktirafan disampaikan wakil MBOR, Nurashikin Ramli, kepada Guru Besar SK Putrajaya Presint 18 (1), Salmiah Hashim, sambil disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam ucapan penutup festival berkenaan, Tengku Adnan berkata, pertandingan yang diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu disertai rakyat pelbagai lapisan usia dan bangsa termasuk orang kurang upaya (OKU), yang menyerlahkan lagi kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

"Pembabitan dari sekolah juga amat memberangsangkan bukan saja dari sekolah kerajaan, malah dari sekolah antarabangsa seluruh Malaysia, selain penggiat catur dari negara jiran.

"Program ini bertujuan membentuk generasi pelajar yang memiliki keyakinan diri yang tinggi, berketrampilan, berdaya saing, kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah serta menghadapi pelbagai cabaran kehidupan," katanya.

Pertandingan berkenaan yang dibahagikan kepada lima kategori menyediakan hadiah wang tunai sehingga RM1,000 kepada juara, selain piala dan sijil penyertaan.

Pada majlis itu juga, Tengku Adnan merasmikan Program Gen Y Kreatif dengan kerjasama 1Malaysia For Youth (1M4U) yang memberi peluang kepada belia menonjolkan bakat dalam pelbagai bidang termasuk seni dan keusahawanan.

Berita Harian X