Isnin, 27 Februari 2017 - 1:15AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

City lonjak tangga kedua


PEMAIN tengah Manchester City, Raheem Sterling mengasak bola ketika Liga Perdana Inggeris. Perlawanan antara Bournemouth menentang Manchester City di stadium Vitality, Bournemouth, England. - Foto AFP

BOURNEMOUTH: Gol Raheem Sterling dan jaringan sendiri oleh Tyrone Mings memberikan Manchester City kemenangan 2-0 ke atas Bournemouth yang melonjak kedudukan mereka dari tangga keenam ke tempat kedua Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Anak buah Pep Guardiola merapatkan jurang dengan pendahulu, Chelsea kepada lapan mata dan terus menghidupkan peluang untuk merebut kejuaraan walaupun pengendali dari Sepanyol itu menyatakan sebaliknya selepas kekalahan 4-0 kepada Everton bulan lalu.

Namun tiga kemenangan berturut-turut liga menghidupkan semula musim City dengan perlawanan Piala FA dan Liga Juara-Juara turut menanti mereka lapan hari lagi.

Dalam tiga perlawanan menentang City sejak Bournemouth menyertai Liga Perdana Inggeris, mereka tewas ketiga-tiganya, dibolosi 13 kali dan hanya menjaringkan satu gol.

Bournemouth juga masih belum memenangi sebarang perlawanan pada tahun 2017 dan walaupun mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan liga, mereka tetap menunjukkan semangat juang tinggi.

Harapan penyokong City untuk melihat Gabriel Jesus meneruskan permulaan cemerlang bersama kelab tidak kesampaian apabila pemain Brazil itu hanya mampu bertahan 14 minit dan digantikan dengan Sergio Aguero selepas buku lalinya terseliuh.

Ia memberikan peluang kepada Aguero untuk membuktikan prestasinya selepas timbul spekulasi yang mendakwa dia bakal kehilangan tempatnya kepada Jesus.

City membuka jaringan selepas hantaran lintang Leroy Sane gagal dikeluarkan pertahanan Bournemouth, dan Sterling merembat kencang untuk gol liga kelimanya ke atas Bournemouth.

Gol kedua City hadir menerusi gandingan Fernandinho dan Aguero yang percubaannya terkena kaki Mings sebelum melepasi garisan gol. - AFP


Trending

    Disyorkan