Selasa, 14 Februari 2017 | 9:27pm

Abang tiri Presiden Korea Utara dibunuh 'wanita Korea' di KLIA

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mirip wajah orang Korea, menyerkup muka abang tiri Presiden Korea Utara, Kim Jong Nam, dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun di satu sudut balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata wajah suspek terbabit dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diteliti oleh sepasukan polis yang ditugaskan menjalankan siasatan kes berkenaan.

"Berdasarkan pemeriksaan awal, kita dapati seorang wanita yang mempunyai mirip wajah orang Korea mendekati mangsa sebelum menyerkup kepalanya secara tiba-tiba.

"Setakat ini, pihak polis sedang menjalankan siasatan ke atas CCTV berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar suspek sebelum tindakan lanjut dilakukan," katanya ketika dihubungi BH malam ini.

Beliau berkata, wanita berkenaan kemudian melarikan diri dipercayai bersama seorang lagi wanita lain yang berkemungkinan turut bersekongkol dengan suspek.

"Pada masa ini kita tidak dapat memberikan motif sebenar kejadian termasuk kaitan kes ini dengan konflik dalaman atau luaran Korea Utara.

"Fokus kita adalah mengenalpasti suspek yang terbabit dan mengesannya untuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang negara kita," katanya.


TINJAUAN di Rumah Mayat Hospital Putrajaya susulan abang tiri Presiden Korea Utara, Kim Jong Nam mati selepas kepalanya diserkup dengan kain mengandungi cecair, di KLIA, pagi semalam. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Abdul Samah, berkata pada masa punca sebenar kematian masih belum dapat disahkan berikutan proses bedah siasat masih belum dilakukan.

Dalam kejadian sekitar jam 8 pagi itu, Jong nam dilaporkan sedang berada di satu sudut di balai berlepas KLIA, untuk menaiki penebangan ke Macau selepas tiba ke Malaysia sejak 6 Februari lalu.

Seorang wanita dilaporkan menghampiri mangsa sebelum menyerkup kepalanya dengan kain yang mengandungi cecair sebelum menghilangkan diri.

Jong nam yang mengalami pedih mata kemudian mendapatkan bantuan di kaunter KLIA sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal ketika dalam perjalanan.

Berita Harian X