Jumaat, 17 Februari 2017 | 12:41pm

Langkah Bank Negara berjaya stabilkan ringgit

KUALA LUMPUR: Langkah diambil Bank Negara Malaysia dalam menstabilkan ringgit pada 2 Disember lalu membuahkan hasil, apabila purata kadar turun-naik tukaran asing (FX) harian (intraday) mata wang tempatan itu mengecil kepada kira-kira 53 mata asas pada Januari daripada 82 mata asas pada Disember lalu.

"Ringgit kekal stabil berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS), dengan pergerakannya sama seperti mata wang serantau lain dan mata wang utama yang kini sedang dipengaruhi perkembangan dalam pasaran kewangan AS dan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada tahun ini," menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut FMC, pasaran pertukaran asing (FX) dalam negara terus mencatat jumlah transaksi harian purata AS$9.1 bilion dalam semua jenis transaksi FX.

Jumlah purata transaksi tukaran harian ringgit adalah AS$5.2 bilion, dengan purata transaksi semerta (spot) dan hadapan (forward) sebanyak AS$2.3 bilion sehari.

"Sejak pelaksanaan langkah untuk memajukan pasaran kewangan yang diumumkan pada 2 Disember 2016, FMC mendapati keadaan adalah bertambah baik seperti ditunjukkan oleh jumlah aktiviti dagangan dalam pasaran FX.

"Sebanyak AS$37 bilion transaksi pertukaran asing berkaitan dengan eksport dan import barangan dijalankan pada Januari sehingga 15 Februari 2017.

"Data Bank Negara juga menunjukkan imbangan yang bertambah baik antara aliran pertukaran asing eksport dan import, sejajar dengan lebihan perdagangan dalam akaun semasa," menurut FMC

Sejak langkah berkenaan diperkenalkan, penukaran hasil perolehan eksport mengatasi import sebanyak AS$372.9 juta pada Disember 2016 dan AS$741.3 juta pada bulan Januari 2017.

"Bank Negara dan FMC akan terus memantau kemajuan dan maklum balas orang ramai berhubung dengan inisiatif ini dan meneruskan interaksi dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan jayanya dan dapat mewujudkan persekitaran pasaran kewangan yang kondusif dan teratur bagi memudahkan aktiviti perniagaan dalam menyokong ekonomi," menurutnya.

Berita Harian X