Jumaat, 17 Februari 2017 | 5:33pm

MBMB sita kereta banyak tunggakan kompaun

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyita sebuah kenderaan di Taman Melaka Raya di sini, semalam selepas dikesan gagal menjelaskan sebanyak 440 kompaun berjumlah RM22,130.

Pemilik kenderaan jenis Toyota Corolla yang juga seorang warga emas berusia 67 tahun itu tidak pernah menjelaskan kompaun sejak tahun 2012.

Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Infrastruktur MBMB, Md Derus Tompang, berkata semakan dilakukan mendapati sebanyak 54 kompaun sudah didaftarkan kes di mahkamah, manakala 386 lagi dalam proses didaftarkan.

Beliau berkata, dalam operasi penguatkuasaan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menemui kenderaan berwarna hitam berkenaan yang diletakkan di Jalan MR13, Taman Melaka Raya, kira-kira jam 12 tengah hari.

"Semakan mendapati, pemilik kenderaan itu memiliki 440 kompaun.

"Atas kesalahan itu, kenderaan berkenaan kemudian dikunci anggota penguat kuasa di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta MBMB 2005)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Md Derus berkata, kenderaan yang dipercayai digunakan oleh anggota keluarga warga emas itu gagal dituntut selepas dikunci sehingga jam 6 petang, sebelum ditunda ke pejabat MBMB.

"MBMB mengenakan RM200 bagi caj kunci kenderaan, manakala RM150 lagi bagi proses menunda.

"Jumlah tunggakan denda keseluruhan kenderaan ini berjumlah RM22,480,"katanya.

Berita Harian X