Ahad, 23 April 2017 - 1:23PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Ops Vulture banteras kegiatan along

Oleh Nurul Nadira Shaari



KETUA Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh pada sidang media di IPD Kuantan, hari ini.- Foto ihsan PDRM

KUANTAN: Dua lelaki dipercayai pekerja syarikat pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along ditahan ketika hendak memasang gegantung iklan pinjaman wang dalam Ops Vulture di Jalan Darat Makbar di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata dua lelaki berkenaan adalah antara enam individu berusia dalam lingkungan 20-an ditahan dalam operasi yang dijalankan bagi membanteras kegiatan pinjaman wang tidak berlesen.

Katanya, pada operasi sehari Selasa lalu yang diketuai Inspektor Mohd Al Imran itu, polis merampas sebanyak 1,392 gegantung iklan pinjaman wang tanpa lesen di sekitar bandar ini.

"Dalam operasi itu, sepasukan anggota daripada unit Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan dua lelaki itu bersama 12 bunting haram dalam sebuah kereta dan mereka dipercayai dalam proses hendak memasangnya.

"Empat lagi ditahan di sebuah kediaman di Lorong Sri Kuantan 63, Taman Ruby bersama sejumlah bunting terbabit serta dokumen lengkap peminjam seperti dokumen pengenalan diri, slip gaji dan bil elektrik," katanya pada sidang media di IPD Kuantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas lima keping kad pengeluaran wang automatik, tujuh telefon bimbit, 122 set dokumen peminjam, tiga buku rekod dan tiga kereta dipercayai digunakan bagi urusan perniagaan berkenaan.

"Semua suspek dibawa IPD Kuantan untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) dan Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951," katanya.


Lagi Berita:

Trending

    Disyorkan