Isnin, 27 Februari 2017 - 1:19AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Sultan Johor, TMJ hadir Festival Chingay

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof



Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkenan menerima hadiah cenderahati daripada Presiden Persatuan Tionghua Johor Bahru, Datuk Tee Kin Chai (tiga dari kiri) ketika menyaksikan Festival Perarakan Chingay 2017 di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan berangkat merasmikan dan menyaksikan Festival Perarakan Chingay 2017 di Jalan Wong Ah Fook, di sini, malam ini.

Sultan Ibrahim diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tiba pada jam 9 malam, disambut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang; Konsul Jeneral Singapura ke Johor, Rajpal Singh dan Presiden Persatuan Tionghua Johor Bahru, Datuk Seri Tey Kim Chai.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Festival Perarakan Chingay 2017 dengan mengetuk gendang di pentas utama.

Pihak penganjur menganggarkan lebih 200,000 pengunjung, termasuk pelancong asing hadir menyaksikan perarakan itu.


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkenan menerima hadiah cenderahati daripada Presiden Persatuan Tionghua Johor Bahru, Datuk Tee Kin Chai (tiga dari kiri) ketika menyaksikan Festival Perarakan Chingay 2017 di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Perarakan Chingay sepanjang 10 kilometer bermula dari Kuil Xing Hong di Jalan Ulu Air Molek dan berakhir di Kuil Kuno di Jalan Trus di sini adalah hasil usaha sama lima dialek Tionghua terdiri daripada Hainan, Kantonis, Hakka, Hokkien dan Teochew, dengan membabitkan lebih 15 kereta berhias.

Persembahan kebudayaan itu adalah antara acara tahunan penting dalam kalendar pelancongan Johor yang berupaya menarik kehadiran lebih ramai pelancong asing.

Sempena perarakan pada malam kemuncak itu hari ini, beberapa jalan ditutup iaitu persimpangan Jalan Gertak, Jalan Dato Menteri, Jalan Ayer Molek, persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Chat, Jalan Abu Bakar, Jalan Ayer Molek/Gertak Merah dan persimpangan lampu isyarat Jalan Dato Onn serta Jalan Ayer Molek.

Penutupan antara pukul 3 petang hingga 3 pagi pada esok turut melibatkan Jalan Wong Ah Fook, Jalan Meldrum, Jalan Siu Nam, Jalan Siu Chin, pusingan 'U' Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Station, Jalan Abu Bakar dan susur Lingkaran Dalam/Jalan Abu Bakar.

 

Perarakan Chingay adalah acara kebudayaan masyarakat Tionghua di Johor sejak tahun 1870 yang memupuk perpaduan antara kaum di negara ini.

 


Trending

    Disyorkan