Jumaat, 17 Februari 2017 | 11:33pm

Giliran JDTII hampakan Sabah


Pemain Johor DT II, Ramli Haziq Mohamad (dua dari kiri) diasak pemain Sabah, Rawilson Batuil (kanan) dalam saingan Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang. - Foto NST/Zulkarnain Ahmad Tajudin

PASIR GUDANG: Johor Darul Ta'zim II (JDTII) memastikan Sabah pulang dengan tangan kosong selepas menewaskan pasukan itu 1-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.

Sepanjang 15 minit perlawanan di babak pertama, tiada serangan menarik yang ditonjolkan kedua-dua pasukan tatkala pergerakan bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang.

Hanya pada minit ke-21, Mohd Syazwan Andik melakukan percubaan dari luar kotak penalti selepas menerima umpanan bola dari Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak namun bola rembatan itu sekadar ke dakapan penjaga gol, Rozaimie Rohim.

Percubaan itu disusuli sepakan percuma Samuel Caceres pada jarak 25 meter namun masih belum mampu merobek gawang pelawat pada minit ke-27 ketika Rozaimie tampak sudah tertewas.

Malah pergerakan Muhammad Hadi Fayyadh yang meledakkan dua gol ketika menentang Pahang pada aksi pusingan kedua Piala FA, Selasa lalu tampak kerap disekat apabila gagal menembusi benteng pertahanan lawan yang dikawal ketat kapten, Igor Cerina dan Rawilson Batuil.

Akhirnya gol yang dicari tuan rumah hadir pada minit ke-50 selepas bola sepakan sudut Nicholas Fernandez tepat ke arah kepada Muhammad Hadi Fayyadh yang tidak dikawal sebelum mudah menanduk bola masuk menewaskan Rozaimie.

Pelawat yang tersentak dengan gol tuan rumah kembali mengatur serangan namun pada minit ke-59, Cerina gagal menyambar bola tandukan Ricco Milus apabila percubaannya sekadar melepasi palang gol biarpun hanya berdepan penjaga gol, Samuel Somerville.

Bekas pemain Sabah, Rozaimi Abdul Rahman nyaris menambah duka buat skuad Badak pada minit ke-78 selepas merembat bola kencang dari luar kotak penalti namun bola sekadar singgah ke palang gol dan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Berita Harian X