Jumaat, 17 Februari 2017 | 11:49pm

Negeri Sembilan gah kuasai Liga Perdana


Pemain Negeri Sembilan, Mohamad Fauzan (kiri) bersaing dengan pemain Terengganu, Muhd Ferris Danial Mat Nasir (kanan) pada perlawanan Liga Premier 2017 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Negeri Sembilan berjaya mengekalkan rekod cemerlangnya di laman sendiri apabila menewaskan pencabar utama Terengganu, 3-2, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Ini adalah kemenangan keempat dicatatkan skuad Hobin Jang Hobin sekali gus mengukuhkan cengkamannya di puncak carta liga dengan meraih 12 mata selepas empat perlawanan.

Manakala Terengganu jatuh ke tangga ketiga apabila dipintas Johor Darul Ta'zim (JDTII) yang berkongsi sembilan mata tetapi beraksi lebih satu perlawanan.

Dalam perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi agresif sebaik permainan dimulakan dalam usaha mereka untuk mendapatkan gol awal.

Terengganu yang gigih mendapatkan gol awal tersentak apabila Bruno Suziki meledak gol pertama Negeri Sembilan menerusi tandukan selepas menerima hantaran silang Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-23, yang menewaskan penjaga gol Terengganu, Amierul Hakimi Awang.

Empat minit kemudian, Negeri Sembilan berjaya melebarkan jurang apabila giliran Marko Simic menjaringkan gol kedua, menerusi tandukan cantik hasil sepakan percuma Lee Andrew Tuck dari sebelah kiri pada minit ke-27.

Jaringan itu menaikkan lagi semangat anak buah Mohd Asri Ninggal apabila berterusan melancarkan serangan ke kubu skuad Penyu, dalam usaha mereka mendapatkan kedudukan lebih selesa.

Di babak kedua, Terengganu memperkemaskan jentera serangan dan menguasai permainan sebelum berjaya mendapatkan gol pertama hasil jaringan kapten Abdul Latif Suhaimi pada minit ke-53.

Gol itu dihasilkan susulan kesilapan pertahanan Negeri Sembilan yang gagal mengeluarkan bola jauh dari kawasan kotak penalti.

Kesilapan pertahanan tuan rumah itu bagaimanapun ditebus Mohd Izuan apabila dia berjaya menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-74, menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti.

Essey Nakajima berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan gol kedua Terengganu pada minit ke-80 hasil sepakan rendah dari luar kotak penalti selepas memperdayakan pertahanan Negeri Sembilan.

Usaha anak buah Irfan Bakti untuk mengikat kedudukan bagaimanapun tidak berhasil sehingga ke wisel penamat.

Berita Harian X