Selasa, 25 April 2017 - 8:31PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

The Red Giants benam FELDA United

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor



Pemain Selangor (dari kiri), Astafei, Rizal Fahmi, Razman Roslan dan Raimi Md Noor meraikan gol pertama jaringan Astafei ketika aksi menentang Felda United pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - Foto NSTP/Osman Adnan

SELAYANG: Selangor kembali menemui rentak kemenangan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas menewaskan FELDA United, 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Ia adalah kemenangan kedua Selangor musim ini selepas menang 2-0 ke atas Pulau Pinang pada perlawanan pertama di stadium sama pada 21 Januari lalu.

Bagi FELDA United yang juga naib juara Liga Super musim lalu, keputusan itu menyaksikan mereka terus bergelut selepas hanya menang sekali dalam enam aksi musim ini termasuk tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pusingan kedua Piala FA, Selasa lalu.

Pada awal permainan, FELDA United dilihat lebih banyak melakukan percubaan berbahaya ke pintu gol Selangor terutama menerusi rembatan deras Norshahrul Idlan Talaha pada minit kelima yang ditepis penjaga gol Khairul Azhan Khalid.

FELDA United dilihat berubah bermula dengan jaringan Selangor yang dihasilkan Victor Stelian Astafei pada minit ke-30.

Dua belas minit kemudian, gawang FELDA United bocor lagi menerusi Raimi Mohd Nor yang pantas melakukan tindakan susulan selepas sepakan penalti Francis Forkey Doe ditampan penjaga gol Farizal Harun.

Selangor menamatkan separuh masa pertama dengan selesa apabila Rizal Fahmi Rosid meledak gol ketiga The Red Giants pada masa kecederaan.

Bersambung babak kedua, permainan kembali seimbang dan Cellerino hampir merapatkan jurang gol buat FELDA United, percubaannya pada minit ke-59 sekadar menggegar tiang gol.

Asakan bertali arus skuad The Fighters ke kubu Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila Lucas Matias Cano memecah kebuntuan jaringan pasukannya pada minit ke-84.

Bagaimanapun, jaringan itu sudah terlambat buat FELDA United untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan seri dan kedudukan 3-1 memihak Selangor kekal hingga wisel penamat.


Trending

    Disyorkan