Jumaat, 26 Mei 2017 - 9:07PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Lombong emas runtuh, dua maut, tiga hilang


Gambar fail lombong emas di Cajamarca. Lombong emas haram di Tanzania runtuh, membunuh dua pelombong. - AFP

DAR ES SALAAM: Dua pelombong maut, manakala beberapa lagi dipercayai hilang selepas sebuah lombong emas haram runtuh di utara Tanzania, pada Isnin.

Dipercayai sekurang-kurangnya 18 pelombong haram sedang menggali emas di bandar Buhemba berhampiran Tasik Victoria ketika kejadian.

"Runtuhan menimbus semua pelombong tetapi pasukan kecemasan berjaya menyelamatkan 13 daripada mereka," kata Kementerian Tenaga dan Perlombongan dalam satu kenyataan.

Dua mayat pelombong berjaya ditemui dan dibawa naik ke permukaan, keesokan harinya.

Usaha mencari masih diteruskan hingga hari ini dalam usaha menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga lagi pelombong yang dipercayai masih terperangkap di bawah tanah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak pasti jumlah mereka yang hilang.

Tanzania adalah pengeluar emas keempat terbesar di Afrika dan ia menjadi sumber utama pertukaran asing negara itu.

Kejadian lombong runtuh sering dilaporkan berlaku, kerana pelombong selalu mengabaikan aspek keselamatan.

Akhir Januari lalu, 15 pelombong berjaya diselamatkan selepas terperangkap di bawah tanah selama dua hari, manakala pada November 2015, lima pelombong ditemui selamat selepas terperangkap selama 41 hari di sebuah lombong di Shinyanga. - AFP


Trending

    Disyorkan