Sabtu, 18 Februari 2017 | 12:00am

Berpeluh-peluh dek gulai rempah giling Mak Ngah

GULAI panas bersama ulam-ulaman dicicah dengan sambal belacan, pasti membuka selera! Itulah yang dicanang oleh seorang rakan yang bertugas di Langkawi.

Beliau mencadangkan makan tengah hari di di gerai Mak Ngah Gulai Panas. Dalam bahasa orang Kedah atau Utara, gulai panas merujuk gulai kari yang disediakan panas-panas.

Kedudukan Gerai Mak Ngah Gulai Panas kira-kira enam minit pemanduan dari destinasi pelancongan popular, KILIM Geoforest Park, membuatkan gerai ini sering dikunjungi tetamu, terutama ketika musim cuti persekolahan atau perayaan, selain cuti hujung minggu.

"Gulai panas perlu dinikmati bersama ulam-ulaman yang dicicah bersama sambal belacan, daripada tak lapar terus jadi lapar, itu baru pembuka seleranya! Dinikmati pula bersama kerapu goreng dan sayur-sayuran seperti kacang panjang, insya-Allah pasti membuatkan makan tengah hari anda sesuatu yang berbeza!

"Tetapi dah namanya pun gulai panas, ia perlu dinikmati panas-panas. Lagipun, rempah yang digunakan dibuat sendiri, rempah giling, selain resipi rahsia keluarga turun-temurun. Inilah makanan tradisional orang Kedah untuk menarik lebih ramai pelanggan," kata Mak Ngah.

Mak Ngah atau nama sebenarnya, Fatimah Bakar, 62, berkata selain pengunjung tempatan, gerainya juga menjadi tumpuan pelancong asing terutama Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan China yang menggemari ikan segar dan makanan panas.

Ikan dimasak ikut permintaan

Apabila pelanggan bertandang ke gerai Mak Ngah Gulai Panas, sekali gus memesan kerapu gulai panas, barulah Mak Ngah menyediakan hidangan istimewa berkenaan kerana ia perlu dimakan panas-panas.

Keenakan gulai panas air tangan Mak Ngah perlu dinikmati sebaik ia dikeluarkan daripada kuali. Hakikatnya, apabila merasai sendiri, memang sedap sampai berpeluh-peluh kepala, panas dan pedas itulah penangan hidangan berkenaan yang dimakan bersama pelbagai ulam-ulaman kampung segar.

Benar bagai dikata Azman, walaupun hanya gerai, kerapu gulai panas Mak Ngah bersama sambal belacan boleh menyebabkan anda pasti berkunjung lagi.

Selalunya, ikan segar yang digunakan untuk menyediakan gulai panas, dibeli terus daripada nelayan atau pemancing untuk memastikan kualiti dan kesegarannya.

Ikan segar ini apabila dibuat gulai panas, rasanya manis dan isinya pula lembut.

Selain kerapu, ada juga pelanggan yang memesan ikan jenahak, gerot dan siakap merah untuk dimasak gulai panas.

Namun, pilihan pelbagai jenis ikan ini bergantung kepada pembekal. Kalau musim ikan berkenaan, memang mudah diperoleh. Selain gulai panas, sotong goreng kunyit rencah istimewa Mak Ngah, turut membuatkan anda teruja dengan keenakannya.

Mak Ngah berkata, pelanggan yang bertandang ke gerainya, apabila memesan hidangan gulai panas, kebiasaannya tidak berminat untuk bungkus dan dibawa pulang.

FAKTA NOMBOR
* 4.8 kilometer - dari KILIM Geoforest Park
* 50 kilogram - ikan kerapu diperlukan sehari
* 25 tahun - perniagaan turun-temurun

INFO

  • Lokasi:
  • Mak Ngah Gulai Panas, Kampung Kisap, Jalan Ayer Hangat, Pulau Langkawi, Kedah (berhadapan Masjid At-Taqwa).

  • Koordinat:
  • 6.370 346, 99.865 005

  • Waktu operasi:
  • Dibuka setiap hari kecuali Jumaat, mulai jam 7 pagi-jam 5 petang. WhatsApp 019-5007070 untuk tempahan.

  • Antara menu istimewa, kerapu gulai panas, kerapu goreng, pucuk lemak udang, pucuk gajus dan pucuk cemumaq yang dinikmati bersama sambal belacan.
  • Berita Harian X