Sabtu, 18 Februari 2017 | 12:03am

Skop tugas Penasihat Undang-Undang luas

PENASIHAT Undang-Undang berperanan sebagai 'benteng pertahanan' paling hadapan kepada pelanggan atau syarikat diwakili bagi memastikan permasalahan dihadapi berkaitan perundangan mampu diselesaikan sebaik mungkin.

Skop tugas penyandang jawatan itu adalah luas, termasuk memberi pandangan dan mengadakan rundingan supaya tindakan diambil dapat membuahkan kesan positif.

Mereka yang mewakili sesebuah organisasi antara lain bertanggungjawab menyediakan draf perjanjian persefahaman, menyelesaikan masalah berkaitan perundangan dan urusan saman-menyaman, serta memberi maklumat diperlukan peguam panel untuk kes mahkamah.

Bidang kerjaya itu menjanjikan pengalaman berharga, termasuk bertemu dan berurusan dengan pelbagai pihak yang memiliki karakter berbeza serta latar belakang berlainan.

Mereka yang ingin menceburi kerjaya itu perlu ada kelulusan dalam bidang undang-undang, selain memiliki minat mendalam, sifat ingin tahu yang tinggi dan berani mengambil risiko.

Di samping itu, berani mengeluarkan pendapat yang dirasakan betul, memiliki ilmu pengetahuan luas dan sentiasa bersedia mempelajari perkara baharu untuk menempa kejayaan.

Berita Harian X