Selasa, 25 April 2017 - 10:34PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Sertai SL1M jika mahu projek kerajaan

Oleh Haryani Ngah dan Hazwan Faisal Mohamad


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengingatkan syarikat besar yang tersenarai di Bursa Malaysia supaya menyertai program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) jika mahu mendapat kontrak kerajaan.

Perdana Menteri menegaskan, beliau akan mengarahkan Perbendaharaan menyenaraikan keperluan itu sebagai sebahagian prasyarat dalam memilih syarikat melaksanakan projek kerajaan.

"Jika mereka tak ambil bahagian dalam SL1M, peluang mereka juga 'slim' (tipis) untuk mendapat kontrak kerajaan.

Sumbangan digalakkan

"Mereka perlu menyumbang semula kepada masyarakat. Sumbangan seperti ini adalah sesuatu yang amat digalakkan," katanya.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program temu duga terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah 2017 serta pelancaran buku dan sistem SL1M di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

Perdana Menteri berkata, sejak program itu dilancarkan pada 2011 sehingga kini, lebih 99,000 peserta berjaya mendapat pekerjaan.

Program peringkat Zon Tengah diadakan dua hari berakhir hari ini dan dikelolakan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ia menawarkan lebih 25,000 jawatan kosong dan peluang latihan dengan pembabitan 111 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

SL1M yang mula dilancarkan pada 1 Jun 2011 adalah program kebolehpasaran, bertujuan membantu graduan meningkatkan keupayaan diri dan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran serta pengalaman bekerja.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (kiri) bersama peserta SLIM yang berjaya ketika hadir pada Program Temu Duga Terbuka SL1M, di PWTC, semalam. - Foto Sairien Nafis

SL1M saluran terbaik graduan cari kerja

Graduan atau pencari kerja yang mengimpikan pekerjaan dari syarikat gergasi dan ternama perlu merebut peluang mengunjungi Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah yang berakhir hari ini.

Program dua hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu, dikelolakan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan sokongan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Dilaksanakan khusus bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan, program pertama yang dianjurkan bagi tahun ini menawarkan lebih 25,000 peluang pekerjaan dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang pendidikan.

Banyak pilihan kerjaya

Bagi lepasan Diploma Kejururawatan, Muhamad Ikram Norazman, 25, kunjungan ke program itu memberi banyak pilihan pekerjaan buatnya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai jururawat di pusat perubatan swasta selama tiga tahun.

"Saya kemudian berhenti kerana berniaga di Australia sebelum kembali ke tanah air, Disember lalu untuk bekerja dalam bidang perubatan atau di pejabat. Saya mendapat tahu mengenai program ini selepas membaca BH dan tidak mahu terlepas peluang.

"Banyak pekerjaan disediakan di sini dan saya nasihatkan kepada orang ramai yang masih mencari kerja, jangan lepas peluang mengunjungi program ini," katanya.


PESERTA SL1M membuat pendaftaran pada Program Temu Duga Terbuka SL1M di PWTC, semalam. - Foto Sairien Nafis

Sementara itu, Celestina Yutah, 25 dari Kota Kinabalu, Sabah, bersetuju penganjuran program SL1M memberi peluang pekerjaan terpantas buat graduan.

"Saya hanya menganggur dua bulan selepas tamat pengajian di Universiti Malaysia Sabah. Saya memohon mengikuti program SL1M pada Mac 2016 dan selepas seminggu dipanggil mengikuti latihan sambil bekerja dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB).

"Saya gembira kerana sudah menjadi sebahagian warga kerja MAB dengan tugasan di bahagian khidmat pelanggan," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa itu.

Bagi Manbir Kaur Sukbir Singh yang menyertai program sulung SLIM pada 2011, inisiatif kerajaan itu membolehkannya mengikuti program dengan Maybank dan kini bertugas sebagai eksekutif.

Ditawar biasiswa

"Saya bukan sahaja dapat bekerja dengan bank ternama, tetapi turut ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana secara separuh masa dan berjaya menamatkannya sebelum umur 30 tahun.

"Nasihat saya kepada graduan yang masih mencari kerja, ikuti program SL1M kerana ia memberi peluang pekerjaan menarik," katanya yang sudah lima tahun berkhidmat dengan Maybank.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan sempena Program Temu Duga Terbuka SL1M di PWTC, semalam. - Foto Yazit Razali
PESERTA yang hadir sempena Program Temu Duga Terbuka SL1M di PWTC, semalam. - Foto Yazit Razali

Trending

    Disyorkan