Jumaat, 24 Februari 2017 | 5:01pm

OSK Property bina pencakar langit terbesar Melbourne A$2.8b


ILUSTRASI Melbourne Square yang akan dibangunkan OSK Property di Southbank, Melbourne.

OSK Property memperoleh kebenaran untuk memulakan projek pembinaan menara pencakar langit terbesar di Melbourne, Australia bernilai A$2.8 bilion (RM9.59 bilion).

Kebenaran pembinaan peringkat pertama di Southbank, Melbourne oleh OSK Property itu adalah antara cadangan pembangunan tunggal terbesar yang pernah dikemukakan kepada pihak berkuasa perancang negeri di Melbourne.

Reka bentuk projek dikenali sebagai Melbourne Square yang mendapat sentuhan Cox Architecture itu memperuntukkan 20 peratus daripada keseluruhan kawasannya sebagai tempat awam seperti taman riadah, pusat beli-belah, kemudahan penjagaan kanak-kanak serta kedai.

Secara amnya, cadangan itu membabitkan pembinaan enam menara dengan ketinggian 30 tingkat hingga 65 tingkat dengan 226 meter tinggi.

Ia akan menyediakan ruang pejabat dengan keluasan keseluruhan 60,000 meter persegi; menara hotel dan apartmen dengan 687 bilik dan empat menara apartmen dengan 2,610 kediaman, serta pusat penjagaan kanak-kanak.

Pengarah Urusan OSK, Tan Sri Ong Leong Huat, berkata kelulusan pembinaan yang diterima itu adalah pencapaian penting bagi pelaksanaan projek mega berkenaan.

"Visi kami adalah menjadikan Melbourne Square sebagai destinasi penting di bandar yang dikenali sebagai sesuai didiami itu.

"Selain daripada reka bentuk berkualiti tinggi, pembinaan peringkat pertama akan menyaksikan pembangunan taman bandar yang cantik, pasar raya yang besar, kemudahan penjagaan kanak-kanak, restoran, kafe dan keperluan utama kediaman," katanya dalam kenyataan semalam.

Leong Huat berkata, Melbourne Square akan mengembangkan kepakaran OSK Property dalam pembinaan projek mega di peringkat global dan di dalam negara.

OSK Property adalah sayap pembangunan hartanah kumpulan, OSK Holdings Bhd. Syarikat itu dibentuk pada 2015, menerusi penggabungan OSK Property Holdings (OSKP) dan PJ Development Holdings (PJD).

Berita Harian X