Selasa, 25 April 2017 - 10:31PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Penubuhan PPBM tak jadi ancaman pada BN

Oleh Baharom Bakar



DATUK Seri Ahmad Razif Abd Rahman. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA NERUS: Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dianggotai bekas pemimpin UMNO tidak menjadi ancaman kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penubuhan parti itu membuktikan amalan demokrasi masih subur di negara ini walaupun PPBM akan menentang calon BN pada PRU akan datang.

Katanya, bekas pemimpin parti itu yang secara keseluruhannya pernah memegang jawatan utama di peringkat negeri dan bahagian tidak berlakon, sebaliknya berterus terang dan mengisytiharkan menyertai serta menubuhkan parti itu.

"Walaupun saya dimaklumkan PPBM akan meletakkan calon untuk bertanding di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta lapan kerusi Parlimen pada PRU akan datang, tetapi BN negeri menganggap kehadiran pemimpin parti itu bukanlah satu ancaman.

"Semua pengundi di negeri ini kenal dan tahu punca bekas pemimpin BN itu menyertai parti PPBM, termasuk ketua bahagian parti itu di Kuala Nerus," katanya ketika diminta mengulas mengenai penubuhan parti itu di semua bahagian di negeri ini.

BH difahamkan, pemimpin utama PPBM di peringkat bahagian sudah mengenal pasti calon dari parti itu untuk bertanding di 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

Kelmarin, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Razali Idris yang dilantik sebagai Ketua Bahagian PPBM di Kuala Nerus merasmikan penubuhan parti itu.


Trending

    Disyorkan