Khamis, 25 Mei 2017 - 1:52AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Hubungan Malaysia, Arab Saudi lebih 600 tahun

Oleh Luqman Arif Abdul Karim



Raja Faizal Abdul Aziz disambut Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang ketika itu Timbalan Yang di-Pertuan Agong, sewaktu lawatan baginda ke Malaysia pada Jun 1970.

Hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi berakar umbi sejak empayar kepemimpinan Sultan Melaka mula bertapak di gugusan kepulauan Melayu, kira-kira 617 tahun lalu.

Menelusuri sejarah, hubungan kedua-dua negara yang berteraskan aktiviti perdagangan dipelopori saudagar Arab Saudi dari Oman, Aden, Jeddah dan al-Jahra, malah Melaka ketika itu turut dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam di sekitar Nusantara.

Pensyarah Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Asmady Idris, yang menjalankan kajian mengenai pertalian Malaysia-Arab Saudi bagaimanapun berkata, hubungan politik kedua-dua negara di waktu Malaysia berada dalam kepemimpinannya sendiri, dirintis bapa kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Katanya, keakraban dijalin antara Perdana Menteri Pertama dan Raja Arab Saudi ketika itu, Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud, ibarat aur dengan tebing yang saling melengkapi dalam mencapai kerjasama serta gagasan diteroka kedua-dua pemimpin.

"Almarhum Tunku Abdul Rahman pada mulanya berdepan pelbagai detik canggung untuk mengadap Raja Faisal kerana pertemuan ketika itu membabitkan masa depan Malaysia dan peluang untuk negara mengorak kemajuan pembangunan.

"Mungkin ramai tidak tahu, kebanyakan sarjana Barat menyifatkan Kerajaan Arab Saudi sebagai negara 'berahsia' kerana mereka tidak akan sewenang-wenangnya melaksanakan sebarang perkongsian jika tidak mengenali latar belakang sesuatu pihak.

"Cabaran ini yang terpaksa diharungi Almarhum Tunku Abdul Rahman, namun sebaik ruyung dipecahkan, sagu yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi melimpah sehingga dirasai generasi kepemimpinan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak," katanya kepada BH.

Rentetan kunjungan muhibah itu, Asmady berkata, pelbagai bantuan kewangan menerusi Dana Pembangunan Saudi disalurkan, khusus untuk membina institut agama dan menyuburkan aktiviti penyebaran dakwah Islam di negara ini.


Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah menerima mengadap Menteri Industri dan Tenaga Elektrik Arab Saudi, Abdul Aziz Al Zamil pada tahun 1990.

Selain itu katanya, Kerajaan Arab Saudi juga tampil menghulurkan dana menerusi Rancangan Malaysia Ketiga yang terdiri daripada siri pembangunan untuk tempoh lima tahun, iaitu dari tahun 1976 hingga 1980.

"Dana pertama berjumlah AS$200 juta (RM893.5 juta - kadar tukaran ketika itu) Arab Saudi yang diberikan kepada Malaysia adalah pada zaman kepemimpinan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

"Sumbangan bukan dalam bentuk kewangan yang disalurkan Kerajaan Arab Saudi pula merangkumi pemberian ratusan naskhah al-Quran dan penyampaian khutbah Jumaat di beberapa institusi keagamaan di Malaysia.

"Sejak tahun 1985, radio Arab Saudi dikenali 'Nidah ul-Islam' atau suara Islam turut mengadakan pelbagai siaran langsung dari Makkah menggunakan Bahasa Melayu untuk manfaat rakyat di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Asmady yang juga Pengarah Penerbit UMS berkata, kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke negara ini atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, akan membuka lembaran baharu kerjasama kedua-dua negara.

Katanya, tumpuan akan terarah kepada projek pembangunan di Arab Saudi menggunakan kepakaran Malaysia dalam bidang kejuruteraan kerana kepercayaan itu mula terbentuk sejak pelbagai kejayaan ditempa bakat tempatan, termasuk mengendalikan operasi sistem perkhidmatan rel Al Mashaaer Al Mugadassah Makkah Metro dan pembinaan menaik taraf jambatan ke Kompleks Jamarat.

"Kerajaan Arab Saudi sebelum ini lebih cenderung menggunakan kepakaran kejuruteraan dari beberapa negara barat seperti Eropah, Jepun dan Jerman, namun mereka mula mengiktiraf bakat serta kualiti Malaysia dalam bidang sama.

"Ini adalah kunjungan ketiga pemimpin Arab Saudi selepas Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud pada tahun 2006. Justeru, ia akan terus mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi," katanya.


Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abu Bakar Ri'ayatauddin Al-Muadzam Shah menerima cenderahati daripada Putera Fahad Abdul Azizi (tengah) sambil diperhatikan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Encik Mohamed Al-Hamad Al-Shubaili di Kuala Lumpur pada tahun 1981.

Info: Susur galur hubungan Malaysia-Arab Saudi:

  • Tahun 1400 hingga 1511 - Aktiviti perdagangan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka

  • Tahun 1511 - Hubungan terganggu kerana penjajahan Portugis.

  • Tahun 1600 - Pedagang Arab kehilangan monopoli di gugusan Kepulauan Melayu kerana penjajahan Inggeris dan Belanda.

  • Tahun 1900 - Penjajah British menghapuskan duti kastam, sekali gus membawa kembali kemasukan pedagang Arab dan China.

  • Tahun 1970 - Pemimpin Malaysia melaksanakan pelbagai usaha bagi menjalin hubungan dengan Arab Saudi.

  • Tahun 1975 - Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengadakan kunjungan ke Arab Saudi.

  • Tahun 1976 - Perdana Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn mengunjungi Arab Saudi.

  • Tahun 1976 - Kerajaan Arab Saudi menyalurkan bantuan kewangan dalam Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980).

  • Tahun 1983 - Arab Saudi menyalurkan dana kepada penubuhan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan pembangunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

  • Tahun 1976 hingga 1983 - Malaysia terus terima bantuan kewangan (dalam bentuk pinjaman) dari Kerajaan Arab Saudi berjumlah 83.8 juta riyal (RM99.6 juta - kadar tukaran semasa).

  • Tahun 1985 - Radio Arab Saudi, 'Nidah ul-Islam' mengendalikan program dalam Bahasa Melayu secara siaran langsung dari Makkah.

  • Tahun 1981 hingga 2003 - Hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi memasuki fasa baharu merangkumi pengukuhan perdagangan, selain terima bantuan kewangan RM142.8 juta untuk membina lima hospital di Kedah, Terengganu dan Kelantan. Projek lain merangkumi pembangunan Pelabuhan di Pulau Pinang serta Lebuh raya Timur-Barat.

  • Tahun 1985 - Malaysia memberi kelulusan operasi kepada Syarikat Perkapalan Kebangsaan Arab Saudi (NSCSA) untuk mengurangkan defisit perdagangan.

  • Tahun 1990 - Perdagangan dua hala Malaysia - Arab Saudi bernilai AS$260 juta (RM1.159 bilion - kadar tukaran semasa)

  • Tahun 2012 - Lonjakan perdagangan dua hala Malaysia-Arab Saudi menjangkau AS$3.66 bilion (RM16.3 bilion - kadar tukaran semasa).

  • Tahun 2015 - Arab Saudi rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Barat, membabitkan nilai dagangan dua hala RM10.95 bilion dengan import mencecah RM7.53 bilion manakala eksport RM3.42 billion.

Info: Raja Salman Abdulaziz Al-Saud

  • Dilahirkan pada 31 Disember 1935

  • Dibesarkan di Istana Murabba.

  • Mendapat pendidikan awal di Sekolah Putera di Riyadh.

  • Mendalami ilmu agama dan sains moden.

  • Mempunyai 13 cahaya mata daripada tiga perkahwinan.

  • Pada usia 19 tahun, beliau menyandang jawatan Timbalan Gabenor Riyadh dari tahun 1954 hingga tahun 1955.

  • Memegang jawatan Gabenor Riyadh untuk tempoh 48 tahun, iaitu dari tahun 1963 hingga tahun 2011.

  • Menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri II dan Menteri Pertahanan pada 5 November 2011.

  • Ditabal menjadi Putera Mahkota Arab Saudi pada 18 Jun 2012.

  • Pada 27 Ogos 2012, Mahkamah Raja-Raja mengumumkan beliau akan mengambil alih hal ehwal negeri sementara Raja Abdullah mempunyai tugasan di luar negara.

  • Pada September 2012, beliau dinamakan sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Khidmat Ketenteraan.

  • Pada usia 70 tahun, beliau ditabal sebagai Raja Arab Saudi pada 23 Januari 2015 susulan kemangkatan Raja Abdullah kerana menghidap radang paru-paru.

Asmady bersama bukunya Malaysia's Relations with Saudi Arabia 1957-2003 ketika ditemui di UMS, di Kota Kinabalu.

Trending

    Disyorkan