Khamis, 27 April 2017 - 11:31AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

SSTMI kekal kejuaraan ragbi Premier 7's MCKK

Oleh Mohd Khairie Khalid




Pemain Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) meraikan kemenangan selepas menewaskan Sekolah Sukan Hong Kong pada peringkat akhir di Kejohanan Ragbi Premier 7 Sepasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). - Foto NSTP/Abdullah Yusof

KUALA KANGSAR: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor mengekalkan kejuaraan Kejohanan Ragbi Premier 7 Sepasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar (Premier 7's MCKK) yang berakhir di sini, sebentar tadi.

Dalam perlawanan akhir di Kolej Melayu Kuala Kangsar itu, pasukan berkenaan mudah membelasah Sekolah Sukan Hong Kong (HKSS), 38-10 untuk mengekalkan Trofi NJ Ryan di bumi Bandar Penawar. 

Pada aksi final itu pasukan SSTMI Tsunami Juniors yang menjuarai kejohanan berkenaan pada 2011, 2012 dan 2016, memperoleh enam try dan empat conversion secara keseluruhan manakala HKSS hanya mampu mencipta dua try. 
  


Perlawanan babak pertama menyaksikan pasukan bimbingan Syed Shazril Syed Mahadi terlebih dulu memperoleh try dan conversion yang disempurnakan oleh Muhd Helmie Iezlan Azmi.

HKSS enggan mengalah apabila mendapat dua try masing-masing disempurnakan oleh Nicholas Hwong dan James Gostick, namun Hilmie sekali lagi mendapat try buat SSTMI untuk menjadikan kedudukan 12-10.
  


Bersambung babak kedua, SSTMI bagaikan dirasuk apabila mendapat empat try yang disempurnakan oleh Amir Danial Ross Effendy, Eddie Arriff Mohd Ferdaus Freedy, Mohd Suhairi Effendi Othman dan Eddie sekali lagi, selain mendapat tiga conversion untuk menamatkan aksi final dengan keputusan 38-10.
  


Syed Shazril yang juga pengemudi pasukan ragbi kebangsaan Bawah 20-Tahun (B-20), berkata dia berpuas hati dengan corak permainan ditunjukkan anak buahnya untuk mengekalkan kejuaraan berkenaan.

Terdahulu, SSTMI mara ke final selepas mengalahkan English College (EG), 38-7 di suku akhir sebelum membelasah pasukan MCKK 29-0 di pusingan separuh akhir manakala HKSS menundukkan Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KEVII), 26-5  di suku akhir dan mengenepikan Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSM), 28-5 dalam peringkat separuh akhir. 
  


Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mersing (SMSM) meraih tempat ketiga selepas menewaskan tuan rumah yang pernah bergelar juara pada 2013, MCKK, 22-5 pada perlawanan penentuan tempat ketiga / keempat. 
  


Perlawanan akhir turut disaksikan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa selain berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Murid-Murid Tua Malay College Kuala Kangsar (MCOBA), Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Datuk Seri Adnan.
 

Sementara itu, Anugerah Pemain Terbaik menjadi milik Eddie Arriff manakala Penjaring Terbanyak diraih Muhamad Faiq Mohd Satar dari SMSM.  



Trending

    Disyorkan