Selasa, 27 Jun 2017 - 1:30AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Antara pensyarah universiti, ahli akademik

Oleh Profesor Emeritus Ibrahim Komoo



PRESIDEN Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Datuk Mohd Idrus Mohd Masirin. - Foto Kongres MAAC

SKIM lapuk menjejas kualiti pensyarah universiti awam didedahkan BH adalah isu menarik dan mungkin mengganggu fikiran masyarakat umum. Banyak perkara perlu difahami sebelum menganalisis kebenaran kenyataan ini. Ramai membandingkan peranan dan kerjaya guru sekolah dengan pensyarah universiti.

Peranan ahli akademik jauh berbeza berbanding guru sekolah. Ahli akademik perlu menjalankan penyelidikan dalam bidang ilmu terfokus (peranan asas), meneroka bidang ilmu terkini dan mengembangkan ilmu sehingga berjaya mewujudkan ilmu baharu yang ditulis dalam jurnal ilmiah serta dikongsi bersama rakan kesepakaran bagi membina korpus ilmu untuk kepentingan sejagat.

Peranan utama ahli akademik ialah memberi 'syarahan' kepada pelajar siswazah dan pasca-siswazah, iaitu bahagian terpenting dalam program pengajian menghasilkan pemimpin negara dalam pelbagai bidang kemahiran tinggi, sama ada bersifat ilmuan (sains) atau ikhtisas (tenaga kerja mahir).

Syarahan disampaikan bukan sekadar memberi ilmu dan kefahaman dalam suatu bidang ilmu, tetapi menyampaikan pemikiran baharu secara kritis untuk membolehkan siswazah menguasai ilmu.

Umumnya, ahli akademik perlu mempengaruhi pemikiran siswazah. Jadi, ahli akademik berkecimpung dengan penerokaan ilmu baharu dan inovasi adalah urusan hariannya.

Walaupun ilmu dikongsi rakan kesepakaran dan pelajar siswazah, mereka bertanggungjawab berkongsi kepakaran dengan penjawat awam, sektor swasta dan masyarakat awam. Usaha ini sering disebut 'khidmat masyarakat' atau lebih tepatnya 'khidmat akademik'. Penyampaian idea, pemikiran, cadangan, pendekatan dan produk baharu berasaskan kepakaran masing-masing.

Selain berdepan etika atau nilai teras akademik, tugas pensyarah sangat berat dan perlu mengabdikan diri untuk penyelidikan, pengajaran (syarahan dan penyeliaan) serta khidmat akademik.

Saya tertarik mengulas isu ini kerana ada dua perspektif menjelaskan dan mencari penyelesaian terbaik. Jika kerajaan beranggapan pensyarah universiti adalah sebahagian penjawat awam dan mirip guru sekolah, kenyataan Prof Datuk Mohd Idrus Mohd Masirin, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) adalah tepat dan perlu diberi perhatian.

Tugasan pensyarah universiti perlu dinilai semula dan penilaian prestasi tahunan boleh dijadikan panduan kenaikan pangkat serta ganjaran.

Jika negara berhasrat menjadi negara maju, sama seperti kebanyakan universiti terkemuka di dunia, skim pensyarah universiti perlu diteliti dan jika perlu dipertimbangkan menjadi skim baharu dipandu suruhanjaya bebas Perkhidmatan Ahli Akademik Malaysia, bukan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Penilaian kenaikan pangkat pensyarah hingga ke profesor ulung, perlu disandarkan kepada prestasi akademik - sumbangan cemerlang dan kewibawaan akademik- dinilai kumpulan kesepakaran berwibawa.

Inilah masanya kerajaan mengorak langkah memperkemas skim perjawatan ahli akademik awam untuk memperkasa kecemerlangan akademik dan membina imej universiti awam yang positif dan dihormati.


Trending

    Disyorkan