Sabtu, 27 Mei 2017 - 9:54PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

SP Setia tawar pakej istimewa Bumiputra bagi projek D'Camellia

Oleh Mahanum Abdul Aziz



D'Camellia Setia Eco Hill.

SP Setia Bhd, menerusi anak syarikatnya, Setia EcoHill Sdn Bhd menawarkan pakej istimewa kepada pembeli Bumiputera bagi projek rumah mampu miliknya, D'Camellia yang terletak di kawasan perbandaran pembangunan bercampur Setia EcoHill, Semenyih.

Pengurus Besar Setia EcoHill, Koh Sooi Meng, berkata pakej istimewa itu adalah promosi menarik yang ditawarkan pemaju hartanah terkemuka tempatan itu bagi pembeli Bumiputera.

Beliau berkata, projek D'Camellia adalah antara projek hartanah mampu milik yang ditawarkan di perbandaran pembangunan bercampur Setia EcoHill yang berkonsepkan mesra alam.

Projek itu, katanya, adalah berstatus pegangan bebas yang mengandungi dua blok menara setinggi 18 tingkat dengan 635 unit rumah.

"Blok pertama D'Camellia dilancarkan November tahun lalu, dan permintaan sangat memberangsangkan dengan kadar jualan kira-kira 80 peratus.

"Blok kedua projek ini dilancarkan pada hujung Januari lalu dengan kadar jualan sudah mencapai 40 peratus," katanya kepada BH ketika ditemui di Semenyih, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai projek itu, Ketua Jualan dan Pemasaran Setia EcoHill, Norlina Mohd Noor, berkata projek D'Camellia adalah projek hartanah mampu milik ketiga ditawarkan di Setia EcoHill selepas D'Cassia dan D'Cerrum yang dilancarkan pada 2015.

Beliau berkata, apartmen mampu milik D'Camellia itu dengan keluasan 860 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik mandi serta dua tempat letak kereta disediakan untuk setiap unit.

"Harga seunit D'Camellia bermula RM262,000. Dengan pakej istimewa ditawarkan kepada pembeli Bumiputera, ia adalah peluang keemasan bagi mereka untuk memiliki rumah mampu milik ini," katanya.

Norlina berkata, antara kemudahan lain yang disediakan termasuk kolam renang, gimnasium, taman permainan kanak-kanak, surau, dewan serba guna dan pondok pengawal.

Beliau berkata, apartmen mampu milik yang dijangka siap menjelang 2019 itu juga terletak pada kedudukan strategik dengan akses mudah ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Cheras-kajang (Grandsaga), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)

Di samping itu, apartmen D'Camellia itu juga terletak berhampiran Sekolah Antarabangsa Tenby, Universiti Nottingham dan pembangunan bersepadu komersial pertama di Semenyih, EcoHill Walk, katanya.

INFO:

* Projek D'Camellia berstatus pegangan bebas

* 18 unit setiap tingkat

* Sasaran pasaran - pembeli dari kawasan sekitar seperti Cheras, Seri Kembangan, Kajang, Ampang, Bangi, Nilai dan Seremban


Trending

    Disyorkan