Khamis, 9 March 2017 | 3:25pm
Jangan keruhkan keadaan - Khairy

Jangan keruhkan keadaan - Khairy

PUTRAJAYA: Malaysia tidak mahu mengambil apa-apa tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan berhubung perlawanan pembukaan Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 antara negara ini dan Korea Utara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata semua pihak perlu memahami terdapat beberapa rakyat Malaysia yang masih berada di Korea Utara, selepas kerajaan negara itu tidak membenarkan mereka keluar dari negara berkenaan.

"Apa saja tindakan kita sama ada diplomatik atau ada kaitan dengan sektor lain, jangan kita buat apa-apa yang boleh meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara," katanya pada sidang media selepas program 'TN50x: Dialog Bersama Usahawan Muda' di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai gesaan pihak tertentu yang meminta Malaysia memboikot perlawanan berkenaan.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk tidak membenarkan Harimau Malaysia ke Pyongyang bagi menghadapi aksi itu kerana faktor keselamatan berikutan konflik yang berlaku membabitkan kedua-dua negara ketika ini.


KHAIRY pada program 'TN50x: Dialog Bersama Usahawan Muda' di MaGIC Cyberjaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Untuk itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menunggu jawapan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenai permohonan untuk mengadakan perlawanan itu di gelanggang berkecuali yang dijangka akan diketahui hari ini.

Khairy berkata, polemik mengenai isu itu tidak akan membantu memulihkan situasi kedua-dua negara.

Berita Harian X