Rabu, 26 April 2017 - 2:41AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

PPA1M Elemen@18 dapat sambutan hangat

Oleh Shamsul Kamal Amarudin


PROJEK pembangunan bercampur Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Elemen@18, Pengkalan, dekat Ipoh, memberi peluang kepada kakitangan awam, khususnya golongan pertengahan memiliki rumah berkualiti pada harga berpatutan.

  Projek fasa pertama pembangunan itu membabitkan pembinaan dua pangsapuri 14 tingkat mengandungi 288 unit serta 72 unit rumah teres setingkat di kawasan seluas 20.56 hektar bernilai RM74 juta.

  Ia dilaksanakan menerusi kerjasama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan syarikat Utusan Variasi Sdn Bhd (UVSB), yang dijangka siap pada akhir tahun depan.

  Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Azizul Rahman Mohammad, berkata sehingga kini kakitangan awam seluruh negara memberi maklum balas menggalakkan terhadap projek berkenaan apabila 150 permohonan sudah diterima untuk unit rumah teres, manakala lebih 200 tempahan dibuat untuk pangsapuri.

  "Ini adalah projek PPA1M terbesar di Perak yang bukan sahaja menawarkan konsep pembangunan baharu yang moden termasuk kewujudan `skypark' di bumbung pangsapuri, tetapi mengekalkan keindahan alam semula jadi seperti pengekalan tasik berkeluasan 2.4 hektar yang dibina trek jogging di sekelilingnya," katanya.

  Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis perasmian pecah tanah projek berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, baru-baru ini.

  Hadir sama, Pengurus Pembangunan Perniagaan UVSB, James Neoh.

Rahman berkata, sebanyak RM13.9 juta subsidi diberikan oleh PPA1M bagi keseluruhan projek pembangunan fasa satu itu yang membolehkan semua unit rumah dijual pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran.

  Unit rumah teres bersaiz 22x75 kaki persegi (6.6x22.5 meter persegi) dijual pada harga serendah RM225,000, manakala unit pangsapuri berkeluasan 1,000 kaki persegi (300 meter persegi) dijual pada harga RM176,000 seunit.

Unit pangsapuri berkeluasan 850 kaki persegi (255 meter persegi) pula dijual pada harga RM139,000 setiap satu.

  Katanya, untuk jangka panjang, Elemen@18 akan dibangunkan dalam tiga fasa dengan fasa kedua membabitkan pembinaan rumah zero lot dan semi-d, manakala fasa ketiga untuk pembangunan zero-lot, semi-d dan kluster.

 "Secara keseluruhan projek ini membabitkan pembinaan antara 700 hingga 800 unit rumah dengan kos melebihi RM100 juta yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun," katanya.

KETUA Pegawai Eksekutif SSI, Azizul Rahman Mohammad (tengah) pada sidang media selepas majlis perasmian pecah tanah projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Elemen@18 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, baru-baru ini.

Trending

    Disyorkan