Selasa, 25 April 2017 - 10:38PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Alvin berkawan Melayu kuasai bahasa

Oleh Zaidi Mohamad



PELAKON, Alvin Chong. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Pelakon, Alvin Chong, tidak bercadang untuk mengambil kursus mempelajari bahasa Melayu bagi meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan.

Sebaliknya, anak jati Pulau Pinang yang mencipta nama menerusi drama, Suri Hati Mr Pilot, tahun lalu, itu percaya cara terbaik untuk berbuat demikian adalah menerusi pergaulan bersama rakan Melayu.

Alvin turut mengakui penguasaan bahasa kebangsaan beliau semakin bertambah baik sejak kebelakangan ini.

"Saya memang lebih banyak bergaul dengan rakan di kalangan orang Melayu. Jadi, tidak perlu pun rasanya untuk saya ambil kursus bahasa Melayu jika tiada persekitaran yang membolehkan saya mempraktikkannya semula.

"Saya rasa cara yang lebih praktikal untuk meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan adalah dengan melepak bersama kru produksi dan pelakon Melayu. Ia cara yang lebih mudah," katanya yang membawakan watak Johan, iaitu teman baik kepada karakter lakonan Fattah Amin, dalam drama popular berkenaan.

Alvin, yang muncul dalam drama pendek, 3 Gadis Manis, bergandingan dengan Ayda Jebat, Mira Filzah dan Cristina Suzanne menerusi platform digital mulai 8 Mac lalu, kini turut dilihat menulis dalam bahasa Melayu bagi keterangan gambar atau video dimuat naik di laman Instagram beliau.

"Itulah antara cara saya mendekati peminat Melayu. Bukan hanya bahasa Melayu, saya juga menulis keterangan gambar dalam bahasa Cina dan Inggeris.

"Pengikut saya di laman sosial seperti di Instagram juga sudah meningkat. Malah, kelompok peminat Melayu turut bertambah selepas drama Suri Hati Mr Pilot," katanya.

Menyentuh perkembangan terkini kerjaya lakonan, Alvin yang juga seorang penyanyi berkata, beliau akan menerajui sebuah telefilem arahan Michael Ang tidak lama lagi.


Trending

    Disyorkan