Sabtu, 11 March 2017 | 10:06am

Tahap keselamatan ikut jenis kediaman

BANYAK kejadian yang berlaku di mana ada daripada kalangan kita mengalami kejadian tidak diingini seperti pecah rumah, pembunuhan, rompakan, kebakaran dan lain-lain.

Disebabkan perkara ini, sesetengah pemaju menyediakan pelbagai perkhidmatan keselamatan bagi rumah yang dibangunkan terutamanya kediaman 'Berpagar dan Berpengawal' (Gated & Guarded Housing).

Bagaimanapun, tahap keselamatan yang disediakan adalah berbeza mengikut jenis rumah dan harga rumah berkenaan.

Tahap asas keselamatan bagi rumah jenis ini adalah daripada segi sempadan berpagar bagi sesebuah komuniti dan penyediaan pengawal.

Kini, teknologi sudah menjadi semakin canggih dengan kelengkapan dan kemudahan lebih moden serta efektif bagi membantu sistem keselamatan untuk pengurusan kediaman sebegini.

Antara contoh alat keselamatan yang biasa diguna pakai pada masa kini adalah kamera CCTV, sistem pengurusan pelawat (Visitor Management System), kad akses kepada pemilik bagi lantai tertentu dan juga bilik kemudahan yang disediakan.

Ada juga rumah yang menyediakan kelengkapan keselamatan siber (cyber-security) membabitkan sistem pengesan kebakaran, pecah masuk dan lain-lain di mana pemilik boleh mengakses keadaan rumah walaupun tidak berada di dalam rumah itu.

Ini mungkin boleh membantu mereka mengawasi kegiatan anak mereka di rumah dan mengesan penceroboh jika ada.

Salah satu contoh projek perumahan yang mengamalkan sistem rumah dengan teknologi (smart-home) adalah kondominium dan rumah bertanah di Symphony Hills di Cyberjaya.

Sebenarnya, bagi rumah kediaman yang tidak mempunyai sistem rumah 'Berpagar dan Berpengawal' ini, pemilik masih mempunyai kebebasan untuk memasang sendiri alat keselamatan di rumah mereka selain menggunakan peralatan biasa seperti pagar automatik dan alat penggera keselamatan.

Namun begitu, kos tambahan diperlukan untuk memasang alat ini dan ia mungkin sedikit membebankan bagi sesetengah pemilik rumah.

Oleh itu, kita dapat lihat di sesetengah kawasan, terdapat kerjasama di antara penduduk di situ yang mengupah seorang pengawal sekurang-kurangnya untuk membantu mengenal pasti pelawat yang memasuki kawasan itu.

Terdapat juga individu yang tidak mahu terkongkong dengan sistem ini dan mahu bebas berinteraksi tanpa ada sekatan.

Justeru, mungkin tidak semua yang boleh menerima sistem secara 'Berpagar dan Berpengawal' ini.

Antara permasalahan yang dihadapi adalah keselamatan membabitkan kanak-kanak, warga emas atau individu kurang upaya kerana pergerakan mereka ini perlu dipantau terutamanya bagi kanak-kanak bertujuan mengelak daripada berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Ini kerana mereka mungkin terdedah kepada kemalangan atau bahaya penculikan.

Selain itu, dengan langkah ini, ia juga dapat mengurangkan risiko bahaya dan kemungkinan berlakunya kes rompakan dan pecah masuk.

Bajet 2017 yang diumumkan pada Oktober tahun lalu juga menyatakan Geran Persatuan Penduduk yang berdaftar sehingga RM10,000 akan diperuntukkan bagi membiayai peralatan kawalan keselamatan, pembersihan dan penyelenggaraan kawasan kejiranan.

Ini adalah langkah yang baik bagi membantu mereka yang mengamalkan sistem 'Berpagar dan Berpengawal' kerana peruntukan itu didapatkan melalui persatuan penduduk.

Secara khususnya, individu yang memiliki rumah kediaman perlulah mengambil berat akan langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mengelak atau sekurang-kurangnya meminimumkan kemungkinan berlakunya kejadian tidak diingini kepada penghuni rumah.

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan di Rahim & Co International, sebuah syarikat perunding hartanah di Malaysia.

Berita Harian X