Ahad, 26 Mac 2017 - 3:46AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Jabatan Penerangan sahkan pekeliling beku cuti

Oleh Suhaila Shahrul Annuar


PUTRAJAYA: Jabatan Penerangan mengesahkan mengeluarkan surat pekeliling mengenai pembekuan cuti persendirian atau urusan peribadi ke luar negara membabitkan kakitangan jabatannya yang menjadi viral baru-baru ini.

Surat pekeliling itu sebelum ini membuka spekulasi kemungkinan Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 diadakan dalam waktu terdekat.

Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, berkata pekeliling dalaman itu dikeluarkan khas kepada anggota jabatan mengenai cuti persendirian atau urusan peribadi ke luar negara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2014 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.


KETUA Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman. - Foto Zaman Huri Isa

Katanya, ia adalah peringatan cuti ke luar negara persendirian atau urusan peribadi bagi mengelakkan kakitangan menempah tiket penerbangan untuk ke luar negara ketika jabatan memerlukan mereka memberikan tumpuan kepada tugas dan program rasmi kerajaan.

"Menjadi kelaziman juga surat pekeliling ini dikeluarkan setahun sebelum tamat tempoh Parlimen bagi mengingatkan seluruh kakitangan jabatan agar bersiap sedia menghadapi PRU apabila diisytiharkan kelak.

"Menjadi tanggungjawab jabatan ini sejak dulu membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan demokrasi berjalan lancar melalui kempen keluar mengundi, pendidikan tatacara dan kaedah mengundi dalam media dan komunikasi bersemuka menjelang PRU.

"Selain itu, adalah tanggungjawab hakiki jabatan ini untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan yang juga dibuat secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata surat pekeliling dalaman itu juga dikeluarkan kerana ada anggota jabatan yang menempah tiket kapal terbang setahun lebih awal dari tarikh penerbangan bagi mendapat tambang murah.

Bagaimanapun, apabila cuti tidak diluluskan, mereka merayu dengan memberi alasan bahawa tiket sudah ditempah dan tidak boleh ditunda tarikhnya.

"Atas kesibukan tugas dan banyaknya program rasmi jabatan dan kerajaan, maka surat pekeliling membekukan cuti persendirian ke luar negara dikeluarkan khas untuk anggota Jabatan Penerangan saja. Ia tidak membabitkan semua penjawat awam seperti yang menjadi viral.

"Namun surat pekeliling ini tidak menyentuh cuti dalam negara yang masih boleh dimohon melalui Ketua Bahagian/Pengarah masing-masing.

"Selain itu, pembekuan ini tidak membabitkan mereka yang mendapat tawaran menunaikan haji atau umrah dan keperluan ke luar negara tertentu masih boleh dipertimbangkan mengikut merit permohonan mereka contohnya kematian keluarga terdekat di luar negara," katanya.


Trending

    Disyorkan