Ahad, 23 April 2017 - 1:27PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Ayam dan telur dimusnahkan kekang H5N1 di Kelantan

Oleh Oleh Nursyahirah Marzuki



MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berucap ketika menghadiri Konvensyen myGap dan myOrganic Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 2016 di Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,438 ayam dan 860 biji telur dimusnahkan susulan penularan selesema burung atau virus Avian Influenza (H5N1) di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kelantan sejak dua minggu lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata operasi kawalan dan pembasmian haiwan berkenaan dilaksanakan sejak 6 Mac lalu bagi mengawal virus H5N1 merebak ke luar dari Zon Pemantauan.

"Hasil tindakan pantas dan menyeluruh kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berjaya mengehadkan penularan virus H5N1 dengan mewujudkan Zon Pemantauan berlingkungan 15 kilometer (km) di kawasan berkenaan.

"Sehingga kini, penyakit selesema burung ini hanya terdedah kepada ternakan ayam kampung dan bukan ayam komersial," katanya pada sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 2016, di sini hari ini.

Shabery berkata, ketika ini keadaan di kawasan terbabit masih terkawal dan JPV meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa supaya ia tidak menjejaskan perdagangan haiwan berkenaan.

"Selain itu, JPV juga sedang berurusan dengan negara pengimport lain seperti Jepun, Brunei, Hong Kong, Indonesia dan China untuk menjelaskan mengenai wabak virus H5N1 yang menjejaskan industri ternakan di negara ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, misteri kematian 15 ayam kampung di Kampung Pulau Tebu, Tunjong terjawab apabila disahkan positif wabak H5N1.

Kerajaan negeri mengambil beberapa langkah untuk mengawal wabak itu daripada merebak termasuk menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Kawalan Penyakit Haiwan Negeri Kelantan bagi mengendalikan kes wabak H5N1.


Trending

    Disyorkan